Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaya (UM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi terbaik negara apabila disenaraikan dalam kelompok 201-250 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings (THE-WUR) 2026.
Pencapaian ini merupakan kedudukan terbaik UM setakat ini selepas meningkat daripada 251-300 pada tahun sebelumnya. Dengan kedudukan ini, UM kini berada dalam 10 peratus teratas daripada 2191 universiti di seluruh dunia serta berkongsi tempat pertama pada peringkat kebangsaan bersama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP).
Sistem penarafan THE-WUR menilai universiti berdasarkan lima aspek utama, iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.
Naib Canselor UM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, berkata kejayaan ini mencerminkan semangat dan komitmen seluruh warga universiti.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi bukti ketabahan dan dedikasi seluruh komuniti universiti. Pencapaian ini juga memperkukuh usaha kami dalam melahirkan graduan berdaya saing dan menyumbang kepada masyarakat melalui pendidikan dan penyelidikan berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Canselor, Pro-Canselor, Lembaga Pengarah serta Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan padu mereka, di samping ucapan terima kasih kepada seluruh warga UM yang terus berusaha menjulang nama universiti di persada antarabangsa.
Beberapa buah universiti tempatan turut tersenarai dalam penarafan tersebut, antaranya Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berada dalam kelompok 301–350, diikuti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam kelompok 401–500. Seterusnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki kelompok 501–600, manakala Management & Science University (MSU), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berada dalam kelompok 601–800.
Mahsa University pula berada dalam kelompok 801–1000, diikuti Multimedia University (MMU), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dalam kelompok 1001–1200. Sementara itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lincoln University College, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) masing-masing berada pada kedudukan ke-1501 dan seterusnya.