Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi kelonggaran dengan membenarkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjalankan kelas secara dalam talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.

Langkah ini diambil bagi membantu para pelajar dan kakitangan IPT yang terkesan dengan penutupan jalan dan kawalan keselamatan ketat di sekitar Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Menurut kenyataan KPT, semua IPT awam dan swasta diberikan kebebasan dalam menentukan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) masing-masing sama ada secara dalam talian atau bersemuka.

“KPT sentiasa cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI.

“Kami memberikan kemudahan kepada IPT untuk membuat pilihan menjalankan sesi PdP sama ada secara dalam talian atau fizikal,” kata KPT.

KPT menegaskan bahawa setiap IPT agar menyemak lokasi, masa dan tarikh penutupan jalan sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN bagi menentukan keperluan pelaksanaan kelas dalam talian.

“Langkah ini penting bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu akibat kesesakan lalu lintas atau kesukaran perjalanan ke kampus,” jelas KPT.

Selain itu, KPT turut memaklumkan bahawa pelajar dan warga IPT yang terkesan boleh menghubungi pihak pentadbiran universiti atau kolej masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengaturan kelas sepanjang tempoh tiga hari tersebut.

“Kemudahan ini diberikan bagi memastikan kesejahteraan warga IPT dan membolehkan mereka merancang pergerakan dengan lebih baik, sekali gus memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar,” jelas KPT lagi.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada tahun ini dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi negara Asia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sehubungan dengan itu, langkah keselamatan yang ketat akan dilaksanakan di kawasan terlibat bagi memastikan kelancaran penganjuran sidang berkenaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi