Diterbitkan pada 27 Oktober 2025, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – ASEAN terus melakar detik bersejarah dengan memulakan langkah penting ke arah masa hadapan inovasi serantau melalui pelancaran Laporan “ASEAN Ahead: ASEAN Science, Technology and Innovation Ecosystem Foresight 2035 and Beyond”  yang bakal menjadi panduan strategik utama rantau ini dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Majlis pelancaran tersebut diadakan bersempena dengan Malaysia yang diberikan mandat sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Luar Negeri, YB Datuk Seri Utama Mohamad Hasan yang mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

YB Datuk Seri Utama Mohamad Hassan menyatakan bahawa laporan ini adalah untuk memastikan kemajuan ASEAN bukan ditentukan oleh nasib, tetapi dipilih berasaskan ilmu dan inovasi demi mencorakkan masa hadapan yang inklusif dan mampan.

Laporan yang dibangunkan oleh ASEAN Foresight Alliance di bawah pimpinan Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini berperanan sebagai pelan hala tuju utama bagi memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai kuasa global dalam bidang STI.

Dokumen strategik ini turut menjadi tulang belakang kepada Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026–2035, yang telah diluluskan oleh Menteri-menteri ASEAN ketika bersidang di Siem Reap, Kemboja pada Jun 2024.

Laporan tersebut memperkenalkan Triple-10 ASEAN STI Framework, yang diinspirasikan daripada kerangka 10-10 MySTIE Malaysia, dengan menggabungkan 10 pemacu sosioekonomi, 10 pemacu teknologi, serta 10 Daya Perubahan (Forces of Change) yang dijangka membentuk landskap masa hadapan ASEAN.

YB Datuk Seri Utama Mohamad Hasan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Perdana Menteri dalam majlis Pelancaran Laporan ASEAN ke Hadapan.

Menurut MOSTI, laporan itu menampilkan empat senario masa hadapan ASEAN menjelang 2035, dengan senario pilihan dinamakan Kemakmuran Bersama yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn menyifatkan laporan tersebut sebagai dokumen penting yang memberikan pandangan strategik jangka panjang tentang peranan STI dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan memperkukuh integrasi serantau.

Yang turut hadir dalam majlis pelancaran ini termasuklah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Chang Lih Kang serta Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Yang Mulia (YM) Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi