Diterbitkan pada 17 November 2025, 20:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Tuan Liew Chin Tong pada hari ini merasmikan Pameran Antarabangsa ASEAN bagi Perdagangan Perkhidmatan (AIFTIS) 2025 di Dewan Perdana, MITI.

Acara selama dua hari ini diadakan hasil kerjasama antara Konfederasi Penyedia Perkhidmatan Malaysia (MSPC) dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), serta mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

Sebanyak 535 orang peserta yang terdiri daripada wakil kerajaan, pakar industri, ahli-ahli akademik dan pihak berkepentingan antarabangsa berkumpul untuk membincangkan strategi meningkatkan produktiviti, inovasi dan pertumbuhan eksport.

Program ini memberikan tumpuan kepada tujuh sektor kritikal iaitu Perkhidmatan Profesional, Perkhidmatan Elektrik dan Elektronik (E&E), Perkhidmatan Digital, Penjagaan Kesihatan Swasta, Pelancongan dan Hospitaliti, Pembinaan dan Alam Bina serta Sukan dan Rekreasi.

Timbalan Menteri menyatakan bahawa walaupun perdagangan perkhidmatan ASEAN mencecah AS$1.29 trilion pada tahun 2024, namun defisit perdagangan dalam sektor ini menunjukkan keperluan untuk penyelarasan dasar yang lebih baik.

Tambah beliau,

AIFTIS diadakan untuk menangani isu ini melalui penekanan kepada pembangunan bakat, teknologi, pembaharuan peraturan dan kerjasama antara sektor awam – swasta, sekali gus selari dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP 2030) untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan profesional.

Pada majlis yang sama, Presiden Konfederasi Penyedia Perkhidmatan Malaysia, YBhg. Datuk Seri Zohari Akob dalam ucapannya menekankan bahawa sektor perkhidmatan negara terkenal dengan daya tahan, inovasi dan semangat bersama. Beliau menegaskan AIFTIS menggabungkan inisiatif sektor swasta dengan kepimpinan sektor awam untuk membina ekosistem berasaskan kepercayaan, teknologi dan bakat.

Pameran ini menampilkan perbincangan meja bulat, forum panel dan pameran yang meletakkan asas untuk kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam tadbir urus digital, mobiliti profesional, perkhidmatan mampan dan pemudahan pelaburan.

Acara ini akan berterusan hingga 18 November 2025 dengan forum dan sesi padanan perniagaan bagi mempercepat pelaksanaan strategi yang dibangunkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi