Diterbitkan pada 22 November 2025, 19:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merafak sembah menjunjung kasih atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhubung dengan keperluan merevolusikan pendidikan negara dengan memberikan tumpuan kepada elemen kemanusiaan, moral, kawalan emosi, serta kesedaran undang-undang.

KPM memaklumkan bahawa titah tersebut menjadi peringatan penting kepada seluruh warga kementerian untuk menggandakan usaha bagi memperkukuh reformasi pendidikan, khususnya dalam aspek pembentukan karakter murid pada peringkat sekolah.

Pada masa ini, KPM sedang membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026–2035 dan Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan mula dilaksanakan pada peringkat prasekolah pada tahun hadapan.

Pembentukan karakter turut diberi penekanan sebagai inisiatif utama dalam kurikulum baharu tersebut yang bakal menjadi anjakan strategik bagi memperkasakan sahsiah dan penerapan nilai murni secara lebih berstruktur.

Selain itu, beberapa inisiatif sokongan seperti Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dan Program Generasi MADANI (GenMADANI) turut digerakkan bagi memperkukuh aspek akhlak, adab dan sahsiah murid.

Keprihatinan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII terhadap isu berkaitan dengan pembangunan karakter dan kesejahteraan murid menjadi pedoman kepada KPM untuk terus memperkukuh usaha bagi memastikan pendidikan negara melahirkan generasi yang seimbang dari segi intelek, emosi dan akhlak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi