Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 2 Disember 2025, 17:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gambang – Tokoh Akademik merangkap penerima Anugerah Tokoh Kejuruteraan Negara 2025, Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, tampil berkongsi pengalaman dan visi global beliau dalam usaha memperkasakan budaya ilmu di institusi pengajian tinggi tempatan.

Beliau hadir menyantuni warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam Majlis Perkongsian 100 Days World Lecture Tour yang diadakan bersempena dengan Bengkel Pemerkasaan Sistem Penasihatan Akademik UMPSA di Dewan Astaka, baru-baru ini.

Program ilmu ini menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi, tenaga akademik, dan mahasiswa, selain turut dihadiri oleh delegasi daripada institusi pendidikan sekitar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (Dungun), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) dan Kolej Matrikulasi Pahang.

Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau memberikan gambaran menyeluruh mengenai pengembaraan solo beliau yang berlangsung dari 16 April hingga 26 Julai lalu. Misi 100 Days World Lecture Tour ini menyaksikan beliau menjelajah ke-15 buah negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Turkiye, negara-negara Scandinavia, Eropah Barat, United Kingdom, Amerika Syarikat, serta kuasa besar Asia seperti Jepun dan Korea Selatan.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias (kiri) menyantuni Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (kanan) sejurus selesai sesi perkongsian ilmu. Pertemuan dua tokoh ini dilihat sebagai simbolik kepada pengukuhan jaringan strategik dalam memacu kecemerlangan institusi TVET negara.

Uniknya, pengembaraan ini dilaksanakan berteraskan konsep perjalan ringan dan pantas, dengan hanya membawa keperluan minimum bagi memaksimumkan mobiliti rentas benua.

“Sepanjang tempoh tersebut, jadual diisi dengan lebih 40 siri syarahan, pertemuan bersama-sama 10 presiden universiti, lawatan tapak, serta wawancara media. Tempoh bukan sekadar kembara fizikal, tetapi sebuah penjelajahan minda untuk memahami amalan kelestarian dan produktiviti negara maju,” ujar beliau.

Antara intipati utama yang dikongsikan termasuklah pemerhatian beliau terhadap sistem kerja efektif di Scandinavia, kejayaan Belanda dalam pengurusan sumber air dan pertanian, serta komitmen negara seperti Qatar, Jepun, dan Korea yang meletakkan kesihatan masyarakat sebagai pasak kecemerlangan negara.

Menyentuh aspek akademik, beliau menekankan tema seperti kesihatan planet, dan peranan pendidikan tinggi dalam ekosistem pascanormal.

Beliau turut menarik perhatian hadirin mengenai anjakan paradigma dalam piawaian antarabangsa, khususnya dalam penilaian kebersihan sungai.

Menurut beliau, negara maju seperti Perancis dan Amerika Syarikat kini beralih  kepada indikator kebolehan berenang atau kesesuaian sungai untuk aktiviti rekreasi renang.

Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kehadiran Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang disifatkan sebagai ikon akademia dengan pengalaman luas dalam pentadbiran dan diplomasi pendidikan.

Sebahagian daripada warga akademik UMPSA yang membanjiri Dewan Astaka mengambil peluang bergambar bersama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias (kiri) menyantuni Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (kanan) sejurus selesai sesi perkongsian ilmu.

Menurut Profesor Dr. Yatimah, perkongsian ini amat signifikan dan bertepatan dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh sistem penasihatan akademik.

“Peranan penasihat akademik kini semakin mencabar dan kompleks seiring dengan pertambahan bilangan pelajar. Justeru, perkongsian ini diharap dapat menyuntik semangat kepada para pensyarah untuk bertindak bukan sekadar sebagai pengajar, tetapi sebagai murabbi dan pembimbing kehidupan yang berjiwa insan,” jelas beliau.

Beliau turut menambah bahawa pengalaman global Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini mampu membuka perspektif baharu kepada warga UMPSA untuk membina jaringan ilmu tanpa sempadan dan melahirkan graduan yang berdaya saing serta mempunyai jati diri yang tinggi.

Sebagai sebahagian daripada budaya pendokumentasian ilmu, Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini memaklumkan bahawa beliau telah menghasilkan lebih 40 puisi sepanjang pengembaraan tersebut yang diilhamkan daripada lokasi-lokasi yang dilawati. Sebuah naskhah buku yang merakamkan keseluruhan pengalaman dan pemikiran beliau sepanjang jelajah ini juga sedang dalam proses penerbitan.

Majlis yang berlangsung selama dua jam menjadi siri perkongsian ke-46 beliau dalam jelajah ini, sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perbincangan global mengenai kelestarian alam dan pendidikan tinggi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan  Antarabangsa), YBrs. Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, barisan dekan serta felo akademik UMPSA.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi