Diterbitkan pada 7 Disember 2025, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Kebangsaan 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Putrajaya, semalam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, bersempena dengan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang disambut pada 5 Disember setiap tahun.

Tahun ini, dunia mengangkat tema “Setiap Sumbangan Penting” (Every Contribution Matters), suatu gagasan yang tepat menggambarkan semangat sukarelawan Malaysia bahawa setiap usaha biarpun kecil, memberikan nilai yang besar kepada masyarakat.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Adam Adli menegaskan:

Sukarelawan tidak bertanya, siapakah yang akan membantu?

“Mereka melangkah dahulu, mendengar rintihan, dan membawa harapan kepada komuniti.

Pada peringkat kebangsaan, HKBM 2025 mengetengahkan tema “Belia ASEAN, Komuniti Berdaya”, yang memberikan penekanan terhadap keberanian, keupayaan dan komitmen tinggi golongan belia untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau ASEAN.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), penganjuran HKBM pada tahun ini menyasarkan lebih 5000 penyertaan melibatkan pelbagai lapisan belia di seluruh negara.

Sepanjang tahun 2025, sebanyak 10 420 orang sukarelawan belia telah menyertai pelbagai inisiatif di bawah KBS.

Hal tersebut menjadi satu pencapaian yang mencerminkan budaya kesukarelawanan yang semakin mengakar dalam masyarakat.

Sambutan HKBM 2025 turut memberikan penghargaan kepada agensi kerajaan, organisasi swasta, yayasan, persatuan dan institusi pendidikan yang menjadi tulang belakang dalam memperkukuh ekosistem kesukarelawanan negara.

Antara pengisian utama program termasuklah:

  • Eksplorasi Sukarelawan
  • Sesi Perkongsian Inspirasi
  • Majlis Apresiasi Rakan Kerjasama
  • Penyampaian Hadiah Pertandingan Video Pendek, Fotografi dan Esei HKBM 2025

Jelas KBS, aktiviti ini bukan sahaja menyerikan sambutan, malah membuka ruang kepada belia untuk berkongsi idea, bakat serta aspirasi mereka secara lebih kreatif dan inklusif.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, serta Ketua Pengarah JBSN, YBrs. Pn. Azura Abidin, bersama-sama pemimpin belia serta wakil agensi kerajaan dan swasta.

Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia (HKBM) Peringkat Kebangsaan 2025 berlangsung dengan penuh meriah di Dataran Putrajaya.
Kredit Foto: Jabatan Belia dan Sukan Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi