Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGambang – Isu jenayah kewangan dan penipuan dalam talian kini bukan lagi ancaman asing, malah semakin agresif menyasarkan golongan belia, khususnya pelajar yang sedang mengikuti pegnajian pada peringkat prauniversiti.
Menyedari kerentanan ini, Unit Pengajian Am Matrikulasi di Jabatan Sastera Ikhtisas dan Sains Sosial, Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) telah menganjurkan program “Ceramah Ancaman Scammer: Lindungi Diri” bertempat di Dewan Kuliah Besar 2, KMPh, Sabtu lalu.

Program yang menghimpunkan kira-kira 300 orang pelajar ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara pihak kolej, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad Cawangan Muadzam Shah dan Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP).
Penasihat Jualan Runcit Bank Rakyat Cawangan Muadzam Shah, YBrs. Encik Mohamad Farhanudin Mohamed Sani, dalam perkongsiannya, menekankan kepentingan menjaga keselamatan data peribadi dan tidak sewenang-wenangnya meminjamkan akaun bank kepada pihak ketiga, sehingga boleh menjerat pelajar dalam kes jenayah kolar putih tanpa sedar.
“Para pelajar perlu cakna dan membina benteng pertahanan diri yang kukuh. Literasi kewangan bukan sekadar tahu mengira wang, tetapi tahu melindungi aset dan identiti diri daripada dimanipulasi,” jelasnya.

Fokus utama penganjuran program ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada modus operandi terkini jenayah siber. Hal ini demikian kerana, golongan pelajar sering menjadi sasaran mudah sindiket penipuan, terutamanya bagi kes akaun keldai (mule account) dan pancingan data (phishing).
Program ini dilihat sebagai satu wahana pendidikan santai, namun berimpak tinggi selaras dengan hasrat KMPh untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, malah turut memiliki sahsiah terpuji dan peka terhadap isu keselamatan global sebelum melangkah ke alam universiti dan pekerjaan kelak.