Diterbitkan pada 8 Februari 2026, 03:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Narendra Modi mengangkat tangan bersama sebagai manifestasi solidariti dan persahabatan utuh semasa majlis ramah mesra bersama komuniti India di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

Sepang – Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia petang semalam, satu detik bersejarah yang memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara menerusi pertukaran 11 Memorandum Persefahaman (MoU) dan pembukaan lembaran baharu kerjasama strategik.

Pesawat khas yang membawa Modi dan delegasinya berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.35 petang. Keberangkatan pulang beliau diiringi oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri R. Ramanan Ramakrishnan selaku menteri pengiring.

Lawatan pada kali ini, yang berlangsung atas jemputan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, disifatkan sebagai satu kejayaan diplomatik yang besar. Kemuncak lawatan ditandai dengan pertukaran sebanyak 11 MoU yang disaksikan oleh kedua-dua pemimpin di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Perjanjian tersebut merangkumi pelbagai sektor kritikal antaranya termasuklah perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, ekonomi digital, tenaga, pengurusan bencana, pemuliharaan hidupan liar, kebajikan pekerja, TVET serta keselamatan dan kesihatan.

Dalam sidang media, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komitmen kedua-dua pemimpin terus diperkukuh susulan penaikan taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024. Kedua-dua pemimpin turut bersetuju memperkasakan kerjasama dalam sektor bernilai tinggi dan pendidikan, serta persetujuan pembukaan Konsulat India di Kota Kinabalu, Sabah.

India merupakan rakan utama Malaysia dengan kerjasama yang semakin berkembang dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan pelancongan,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Hubungan ekonomi antara kedua-dua negara terus mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah kira-kira RM79.49 bilion pada tahun 2025. Eksport Malaysia direkodkan berjumlah kira-kira RM52.3 bilion, manakala import sebanyak RM27.19 bilion.

Eksport utama Malaysia ke India merangkumi minyak sawit dan produk elektrik serta elektronik, manakala import tertumpu kepada produk pertanian, petroleum dan kimia.

Upacara keberangkatan pulang Modi diserikan dengan penuh istiadat, termasuklah kawalan kehormatan sebanyak 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Suasana turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 100 pelajar dari SJK(T) Dengkil dan Sekolah Menengah Sains Banting yang mengibarkan bendera kedua-dua negara, serta persembahan kebudayaan yang mempamerkan kepelbagaian Malaysia.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersalaman erat dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, di sisi pesawat khas sebelum Modi berlepas pulang dari Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Sebelum itu, sepanjang lawatan tersebut, Modi sempat menyantuni komuniti India di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Dengan kira-kira 2.9 juta diaspora India di Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan komuniti tersebut sebagai sebahagian penting dalam pembinaan negara.

Lawatan ini membuktikan komitmen utuh antara Malaysia dengan India dalam mengutamakan dialog dan kerjasama demi kemakmuran bersama serta menghadapi cabaran global.

 

Kredit Foto: Facebook Rasmi Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi