Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memuji kepimpinan Sarawak yang meletakkan kesejahteraan kanak-kanak sebagai agenda utama pembangunan negeri, menyaksikan sebanyak tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) diiktiraf sebagai calon Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI).
Timbalan Wakil UNICEF di Malaysia, Sanja Saranovic berkata bahawa komitmen tinggi kerajaan negeri serta peranan aktif majlis bandaraya dan perbandaran meletakkan Sarawak sebagai model contoh kepada kerajaan lain dalam menterjemahkan hak kanak-kanak menerusi tindakan yang nyata.
“Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menunjukkan bahawa kerajaan tempatan boleh melaksanakan hak kanak-kanak dengan keputusan yang konkrit,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Bandar Calon CFCI 2026 di sini, Ahad lalu.
Dalam majlis yang sama, Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, mengumumkan komitmen kewangan yang besar bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Sekurang-kurangnya lebih daripada RM58 juta dalam pelan tindakan akan diberikan untuk anak-anak kita ini sebagai permulaan yang baik,” jelasnya.
Namun begitu, beliau turut memberikan peringatan tegas kepada semua bandar yang dicalonkan agar memastikan Pelan Tindakan CFCI dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan bagi mengelakkan pencalonan tersebut dibatalkan.
Tujuh PBT yang menerima status calon CFCI tersebut termasuklah Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Majlis Bandaraya Miri (MCC), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Sibu (SMC) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).
UNICEF menyasarkan kesemua bandar ini akan menerima pengiktirafan penuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Sanja Saranovic turut menggesa ahli Majlis Kanak-kanak di Sarawak agar terus berani menyuarakan pandangan bagi memastikan pembangunan bandar memenuhi keperluan generasi masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Majlis Kanak-kanak Sibu, Vivynhesy Frankie Jawan, berharap agar status bandar mesra kanak-kanak akan memberikan keyakinan kepada kanak-kanak di Sarawak untuk menyuarakan pendapat tanpa mengira latar belakang.
Setakat ini, Petaling Jaya merupakan satu-satunya bandar di Malaysia yang menerima pengiktirafan penuh sebagai Bandar Mesra Kanak-kanak UNICEF bermula pada 13 Oktober 2023.