Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Webinar Gemini Pro 3.0: Meningkatkan Produktiviti dan Membuat Keputusan Bijak dengan Gemini Pro berjaya dianjurkan menerusi platform Google Meet dan YouTube, hasil kerjasama Centre for Innovative Delivery & Learning Development (CIDL), Awantec Systems Sdn. Bhd. dan Google for Education.
Program ini diadakan bagi menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membudayakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, pentadbiran dan kehidupan seharian warga universiti.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Centre for Innovative Delivery & Learning Development, YBrs. Prof Madya Ts. Dr. Mohd Nor Mamat memaklumkan bahawa Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan antara institusi terbesar menerima lesen AI yang diperuntukkan oleh KPT, iaitu sebanyak 10,000 lesen untuk staf akademik dan pentadbiran serta 22,650 lesen NotebookLM untuk mahasiswa.
Beliau merakamkan penghargaan kepada KPT atas kepercayaan dan sokongan berterusan untuk memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi melalui teknologi AI.
Menurut beliau, pensyarah kini boleh memanfaatkan Gemini untuk menyediakan tugasan, merangka pelan pengajaran, menyemak tesis, serta menghasilkan bahan pengajaran yang lebih profesional dan terkini.
Pengintegrasian Gemini Pro 3.0 secara langsung diharap mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif, interaktif dan berimpak tinggi.
Sementara itu, Pengurus Workspace Solution Engineer, YBrs. Ts. Ahmad Omar Arbain menjelaskan bahawa Google merupakan peneraju industri dalam pembangunan AI sejak sedekad lalu.

Antara pencapaian penting termasuklah kejayaan Google DeepMind melalui projek AlphaGo pada tahun 2015 yang menewaskan pemain profesional permainan papan Go, pembangunan model bahasa seperti Bidirectional Encoder Representations from Transformers (BERT), model perbualan Language Model for Dialogue Applications (LaMDA), serta kejayaan AlphaFold pada tahun 2022 yang meramal struktur 3D protein daripada urutan asid amino dengan ketepatan yang tinggi.
Perkembangan terkini menyaksikan evolusi kepada Gemini dalam Google Workspace dan pembangunan keluarga model AI berteraskan prinsip sains pembelajaran dan pendidikan pada tahun 2024.
Beliau turut menegaskan bahawa Google memiliki keseluruhan rantaian teknologi AI, merangkumi perisian seperti Gemini dalam Google Workspace dan NotebookLM; model seperti Gemini dan LearnLM; peranti seperti Chromebook Plus dan Android; serta infrastruktur awan melalui Google Cloud dan Tensor Processing Unit (TPU).
Aspek keselamatan data turut diberikan penekanan apabila penggunaan Gemini dan NotebookLM di bawah terma Google Workspace for Education menjamin data pengguna kekal peribadi dan selamat.
Data tidak digunakan untuk melatih model, tidak dikongsi dengan pihak lain, tidak digunakan untuk pengiklanan serta dienkripsi dengan baik ketika proses penyimpanan data, malahan kaedah penghantaran data selaras dengan piawaian audit antarabangsa.
Webinar ini turut memberikan pendedahan tentang kepentingan kejuruteraan prom, iaitu proses merangka arahan yang jelas bagi membimbing AI menghasilkan output yang diingini.
Para peserta didedahkan dengan komponen utama prom meliputi aspek Persona, Aim, Recipients, Theme dan Structure.
Selain itu, empat peringkat penambahbaikan prom turut dikongsikan, bermula dengan draf awal, ujian, semakan dan pengulangan bagi memastikan hasil yang optimum.