Diterbitkan pada 23 Februari 2026, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Perlindungan harta intelek (IP) merupakan aspek penting dalam memastikan hasil penyelidikan, rekaan dan inovasi dapat dimanfaatkan secara optimum tanpa berhadapan dengan risiko pelanggaran hak pihak lain.

Perkara ini diketengahkan dalam satu perkongsian menerusi aplikasi Google Meet bertajuk Copyright Vs Patent Webinar: Understanding The Benefits And Key Differences yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Perundangan dan Pengurusan Harta Intelek di Business Innovation & Technology Commercialization Centre (BITCOM), UiTM, YBrs. Dr. Muhamad Helmi Muhamad Khair.

Dalam sesi tersebut, beliau mengupas secara terperinci mengenai hak cipta yang merupakan hak eksklusif yang ditadbir di bawah Akta Hak Cipta 1987 untuk mengawal karya kreatif bagi tempoh tertentu, merangkumi karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi, siaran dan karya terbitan.

Manakala, paten pula ialah hak eksklusif yang diberikan terhadap sesuatu ciptaan sama ada berbentuk produk atau proses baharu yang menawarkan penyelesaian teknikal kepada sesuatu masalah.

YBrs. Dr. Muhammad Helmi Muhamad Kahir turut menyentuh mengenai reka bentuk yang memfokuskan kepada ciri bentuk, konfigurasi, corak atau hiasan yang memberikan nilai estetika kepada sesuatu produk, serta cap dagangan yang berfungsi sebagai tanda pemisah barangan atau perkhidmatan seperti logo, jenama, atau label di pasaran.

Bagi melancarkan proses permohonan harta intelek dalam kalangan warga akademik, Dr. Muhamad Helmi Muhamad Kahir turut berkongsi beberapa panduan dan tip penting, antaranya perujukan dasar harta intelek universiti sebagai panduan utama bagi memastikan pemilikan institusi terpelihara.

Beliau turut menekankan kepentingan perancangan strategik sebelum membuat penerbitan atau permohonan paten bagi mengelakkan konflik pemilikan atau pelanggaran hak pihak lain.

Proses carian karya terdahulu juga perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan risiko pelanggaran harta intelek sedia ada

Jelas beliau dengan mengingatkan para peserta supaya berhati-hati ketika berkongsi maklumat penyelidikan dalam sesi perkongsian atau pembentangan serta tidak lupa meletakkan notis hak cipta pada bahan yang dihasilkan.

“Pendekatan kerja secara berpasukan bersama-sama dengan pakar undang-undang juga amat penting bagi menguruskan risiko berkaitan harta intelek dengan lebih berkesan,” jelas beliau.

Pada penghujung sesi, Dr. Muhamad Helmi Muhamad Kahir berkongsi beberapa kes yang berkaitan dengan pelanggaran harta intelek sebagai pengajaran kepada para peserta sebelum menjawab soalan yang dikemukakan.

Dr. Muhamad Helmi Muhamad Khair berkongsi tentang kepentingan mendaftardan melindungi harta Intelek.

Program perkongsian ilmu yang dianjurkan secara bersama oleh Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Johor (Kampus Pasir Gudang) dan BITCOM yang dikendalikan moderator, Dr. Nur Idayu Alimon berjaya mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan penyertaan lebih 500 orang yang terdiri daripada penyelidik, inovator dan warga akademik.

UiTM terus melakar sejarah cemerlang apabila tersenarai di kedudukan pertama dalam kalangan 10 Universiti Awam (IPTA) bagi permohonan hak cipta tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025. UiTM juga berjaya menempatkan kedudukan di tempat kesembilan bagi permohonan paten tertinggi di Malaysia untuk tempoh 2023 hingga 2025.

Pengiktirafan membanggakan ini mencerminkan komitmen berterusan warga penyelidik, inovator dan keseluruhan ekosistem universiti dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi, serta perlindungan harta intelek demi manfaat komuniti dan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi