Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat terus disemarakkan apabila sekumpulan pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis menganjurkan Program Kit Iftar 2026 dengan mengagihkan makanan berbuka puasa kepada orang ramai sempena bulan Ramadan.

Program yang berlangsung pada pukul 4.00 petang itu melibatkan para pensyarah yang turun padang bagi mengedarkan kit iftar kepada masyarakat sekitar.

Inisiatif tersebut bukan sekadar usaha membantu menyediakan juadah berbuka puasa, malah menjadi wadah untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat.

Peserta menyediakan kit iftar untuk diagihkan kepada orang ramai.

Sebanyak 100 unit kit iftar yang diagihkan mengandungi pelbagai juadah ringan seperti air kotak, donat, kurma, bahulu serta kuih-muih tradisional.

Pemberian kit tersebut diharapkan dapat membantu orang ramai menikmati juadah berbuka dengan lebih mudah, khususnya bagi mereka yang berada di luar rumah atau sedang dalam perjalanan menjelang waktu berbuka puasa.

Kit iftar mengandungi juadah ringan yang sesuai dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Penyelaras Program, YBrs. Dr. Zuliahani Ahmad, program berkenaan merupakan usaha kecil yang membawa makna besar bagi memupuk nilai kebersamaan dalam masyarakat.

“Program Kit Iftar 2026 ini diadakan sebagai tanda keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat dengan pengagihan bungkusan makanan yang mengandungi air kotak, donat, kurma, bahulu dan kuih-muih sebagai juadah ringkas berbuka puasa,” kata beliau.

Melalui program ini, beliau berharap dapat menyemai semangat berkongsi rezeki serta mengeratkan hubungan antara warga universiti dengan masyarakat.

Peserta Program Kit Iftar 2026 mengagihkan bungkusan makanan kepada orang ramai.

Beliau turut menambah bahawa aktiviti seperti ini mencerminkan tanggungjawab sosial warga akademia untuk menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, selaras dengan semangat Ramadan yang menuntut umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan.

Kit iftar diberikan kepada semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, pensyarah Kanan Unit Kimia yang terlibat dalam program tersebut, YBrs. Puan Dyia Syaleyana Md Shukri berkata aktiviti kemasyarakatan seperti ini juga mempunyai nilai pendidikan yang signifikan kepada masyarakat.

“Program sebegini bukan sekadar pemberian makanan, tetapi turut membawa mesej pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan berkongsi rezeki dan memupuk nilai empati,” kata beliau.

“Institusi pendidikan bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu, malah turut mendidik masyarakat melalui contoh amalan kebajikan yang dilakukan bersama-sama,” tambah beliau lagi.

Menurut beliau, pelibatan warga universiti dalam aktiviti kemasyarakatan mampu menjadi teladan kepada masyarakat tentang pentingnya sikap prihatin, sekali gus menyuburkan budaya kesukarelawanan dalam kehidupan seharian.

Inisiatif tersebut membuktikan bahawa usaha yang sederhana mampu memberikan impak besar dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan kepedulian sosial dalam masyarakat.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi