Diterbitkan pada 18 Mac 2026, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Caltex telah menganjurkan Program Advokasi JPJ bagi memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat setempat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program yang berlangsung di Stesen Minyak Caltex Jalan Guar Nangka, semalam, merupakan sebahagian daripada pengisian Program Sinar Kasih Ramadan 2026.

Inisiatif ini diterajui oleh Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Perlis bersama rakan strategik KBS Incorporated Sdn. Bhd. dan pihak Caltex. 

Program ini berjaya menarik kehadiran kira-kira 75 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Antara pengisian utama program termasuklah advokasi keselamatan, khidmat nasihat keselamatan jalan raya, pengedaran risalah oleh JPJ negeri Perlis, pertukaran topi keledar, pengagihan minyak pelincir motosikal Caltex Havoline dan jaket keselamatan oleh pihak Caltex. 

Selain advokasi fizikal, masyarakat turut digalakkan memanfaatkan aplikasi MyJPJ untuk urusan digital yang lebih efisien. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melakukan semakan lesen dan kenderaan,  semakan saman serta profil digital. 

Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perlis, Dr. Muhammad Zharfan Mohd. Halizan, menyatakan bahawa program ini bukan sahaja mendidik, malah membantu meringankan beban golongan memerlukan sempena Ramadan. 

Sementara itu, Dr. Nor Hafizah Che Ismail menegaskan bahawa komitmen semua pihak adalah kritikal.

Keselamatan jalan raya bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi memerlukan komitmen semua pengguna untuk sentiasa mematuhi peraturan,” jelas beliau. 

Program ini dihadiri oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains UiTM, Dr. Nur Nasulhah Kasim; Ketua Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Perlis, Tuan Tirawud Etam; wakil KBS Incorporated, Puan Nurkamariah Kasim dan Pengarah Program, Encik Muhammad Syukri Noor Azman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi