Diterbitkan pada 7 April 2026, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis memperkenalkan program “Mission DS14: The Next Level of Honorary Degrees and Doctorate Holders” dalam memperkasakan budaya kecemerlangan warga akademik.

Program ini dihadiri kira-kira 100 orang pensyarah kanan yang baru melapor diri selepas tamat cuti belajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) yang berlangsung di Bilik Akademia, UiTM Cawangan Perlis.

Bengkel anjuran Bahagian Hal Ehwal Akademik ini merupakan satu inisiatif strategik yang dirangka bagi memperkukuh kefahaman warga akademia terhadap laluan pembangunan kerjaya, khususnya dalam aspek kenaikan pangkat, pemantapan dokumentasi profesional, serta pengurusan prestasi akademik secara lebih sistematik.

Program yang julung kali diadakan itu memberikan pendedahan khusus kepada pensyarah kanan mengenai tatacara permohonan kenaikan pangkat yang lebih terancang, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan barisan akademik yang bukan sahaja cemerlang dalam pengajaran dan penyelidikan, malah berdaya saing pada peringkat nasional dan global.

YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri berucap di di Bilik Akademia, UiTM Cawangan Perlis

Menurut YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, bengkel ini turut memberikan penekanan kepada aspek pemantapan dokumentasi e-compliance serta pengurusan garis masa bagi pensyarah yang masih dalam pengajian PhD supaya dapat merancang perkembangan kerjaya dengan lebih tersusun.

“Melalui pendedahan yang diberikan, kita berharap warga akademik dapat membuat persediaan lebih awal dan lebih teliti, sekali gus mengurangkan kadar permohonan yang ditolak,” tambah beliau lagi.

YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Mantan Rektor UiTM Cawangan Perlis telah dijemput sebagai penceramah bagi menyampaikan sesi perkongsian berkaitan dengan strategi pengisian permohonan kenaikan pangkat dalam sistem UiTM.

Dalam sesi tersebut, beliau menghuraikan secara terperinci kaedah pengisian permohonan, termasuk jenis jawatan dan penglibatan jawatankuasa yang sesuai dijadikan bukti kukuh dalam jadual kenaikan pangkat.

Penerangan itu dilihat amat penting bagi membantu pensyarah menyediakan dokumen sokongan yang lebih mantap, tersusun dan memenuhi keperluan penilaian universiti.

YBrs Prof. Madya Dr. Shukor Sanim ketika menyampai ceramah di Bilik Akademia.

Selain itu, beliau turut menerangkan empat laluan kenaikan pangkat staf akademik yang diperkenalkan, iaitu Trek Penyelidikan, Trek Pengajaran dan Pembelajaran, Trek Kepimpinan Institusi dan Trek Pengamal Profesional.

Bagi Trek Pengajaran dan Pembelajaran, fokus diberikan kepada kecemerlangan pedagogi serta penyeliaan berimpak tinggi. Trek Penyelidikan pula menekankan aspek penerbitan berindeks tinggi dan pemerolehan geran penyelidikan.

Sementara itu, Trek Pengamal Profesional memberikan penumpuan kepada jaringan industri, kepakaran profesional, amalan klinikal dan penghasilan naskhah kreatif, manakala Trek Kepimpinan Institusi menekankan sumbangan pentadbiran strategik serta impak terhadap dasar dan tadbir urus universiti.

“Pemahaman yang mendalam terhadap pemilihan trek yang sesuai amat penting kerana dapat membantu pensyarah membina laluan kerjaya yang lebih jelas dan selari dengan kekuatan serta pencapaian masing-masing,” kata beliau.

Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan bahawa terdapat beberapa kriteria asas kelayakan umum yang perlu diberikan perhatian serius oleh setiap staf akademik.

Kriteria yang dinyatakan termasuk memastikan penilaian pelajar bagi tahun terkini mencapai tahap cemerlang, melaksanakan amanah tugas pensyarah universiti dengan berkesan, menyediakan portfolio pengajaran dan fail kursus secara cermat dan sistematik, serta melaksanakan aktiviti pelajar atau komuniti berimpak tinggi.

Penekanan terhadap elemen-elemen ini jelas menunjukkan bahawa profesionalisme pensyarah pada hari ini tidak lagi terhad kepada bilik kuliah semata-mata, sebaliknya merangkumi pengurusan dokumen akademik, keterlibatan komuniti, kepimpinan, penyelidikan, serta kebolehan menzahirkan impak secara menyeluruh kepada universiti dan masyarakat.

Para peserta hadir mengikuti perkongsian di Bilik Akademia, UiTM Cawangan Perlis

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan warga akademia supaya sentiasa menjaga Key Performance Indicator (KPI) masing-masing, memandangkan prestasi pensyarah memberikan kesan langsung kepada penilaian institusi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Jelas beliau, universiti awam dinilai dan ditaraf secara berkala melalui beberapa instrumen utama seperti Malaysia Research Assessment (MyRA), Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Awam (SETARA), serta Headline KPI atau KPI Menteri, yang mana penerbitan ilmiah merupakan antara komponen penilaian yang amat signifikan.

Penganjuran program ini juga selari dengan Pemakluman Khas Naib Canselor UiTM berhubung langkah strategik demi memperkukuh kedudukan UiTM ke peringkat nasional dan global.

Perkara ini termasuk kewujudan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat yang menyokong pelaksanaan empat laluan kenaikan pangkat staf akademik secara lebih tersusun dan inklusif.

Sementara itu, seorang peserta, Puan Dyia Syaleyana Md Shukri, Pensyarah Unit Kimia UiTM Cawangan Perlis, menyifatkan program berkenaan sangat bermanfaat dan membuka perspektif baharu terhadap hala tuju kerjaya akademiknya.

Secara peribadi, program seperti ini sangat membuka mata berkenaan hala tuju kenaikan pangkat ke peringkat Profesor Madya dan seterusnya ke Profesor sebagai satu panduan yang lengkap kerana semua kriteria kenaikan pangkat diulas dengan jelas,

“Sebagai pensyarah, kami kini lebih memahami jawatan dan kriteria yang perlu dimasukkan dalam jadual kenaikan pangkat, sekali gus dapat mengurangkan kadar permohonan yang ditolak,” tambah beliau lagi.

Secara keseluruhannya, program ini membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasakan pembangunan profesional pensyarah melalui pendedahan yang bersifat praktikal, berstruktur dan selari dengan keperluan semasa pendidikan tinggi.

Usaha sebegini diyakini mampu melahirkan lebih ramai warga akademik yang berprestasi tinggi, kompeten dan berdaya saing, seterusnya memperkukuh budaya kecemerlangan institusi serta menyumbang kepada agenda pemerkasaan pendidikan tinggi negara.

Kredit Foto: UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi