Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGambang – Universiti Malaysia Pahang Al- Sultan Abdullah UMPSA Kampus Gambang terus mengorak langkah sebagai medan penting untuk melahirkan generasi muda agar mempunyai pengukuhan jati diri yang tinggi terhadap isu kenegaraan menerusi penganjuran Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI (Mahasiswa) Siri 2/2026.
Program ini merupakan inisiatif murni Seksyen Belia Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Pahang dengan kerjasama strategik UMPSA sebagai usaha memperkasakan kefahaman mahasiswa terhadap kerangka kenegaraan, di samping menyuntik falsafah serta nilai murni Malaysia MADANI ke dalam sanubari warga kampus.
Seminar interaktif dimulakan dengan sesi interaktif yang dikendalikan oleh Penolong Pegawai Latihan AKM Pahang, Encik Suhaimi Salleh yang menegaskan bahawa penghayatan sejarah negara melangkaui sekadar hafalan fakta, sebaliknya menjadi teras untuk membentuk warganegara yang bertanggungjawab mengekalkan kestabilan tanah air.
Bagi melengkapkan agenda seminar, slot “Faham Kenegaraan” telah dikendalikan oleh Sahabat Penggerak MADANI (SPM) Pahang, Encik Nasrul Isyam Abd Hamid yang menterjemahkan konsep Malaysia MADANI kepada bentuk yang lebih praktikal, sekali gus membimbing mahasiswa tentang cara menzahirkan nilai tersebut menerusi minda dan amalan berintegriti dalam rutin seharian.

Suasana di dalam dewan begitu rancak apabila para mahasiswa masing-masing tidak melepaskan peluang untuk menanyakan beberapa soalan dalam sesi soal jawab tersebut. Interaksi dua hala ini membuktikan bahawa mahasiswa pada masa kini mempunyai keinginan yang tinggi untuk terlibat secara langsung dalam arus pembangunan negara melalui perspektif yang lebih terbuka dan berimpak.
Penganjuran seminar ini seiring dengan aspirasi nasional untuk melahirkan generasi muda yang berdaya tahan dan teguh jiwa patriotik. Melalui sinergi bimbingan AKM dan UMPSA, mahasiswa diharap bersedia mendepani arus globalisasi dengan mengekalkan jati diri kenegaraan yang utuh berteraskan keluhuran Rukun Negara.