Diterbitkan pada 15 April 2026, 14:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Barisan Juruaudit Dalaman MS ISO 9001:2025 bagi sesi tahun 2026 hingga 2030 yang dilantik.

Genting Highlands – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara rasmi melantik sebanyak 50 orang pegawai sebagai Juruaudit Dalaman MS ISO 9001:2015 bagi sesi tahun 2026 hingga 2030. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan, integriti dan profesionalisme barisan pegawai tersebut dalam memastikan kelangsungan kualiti organisasi.

Penyampaian amanah ini disempurnakan bersempana dengan Majlis Konvensyen Juruaudit Dalaman MS ISO 9001:2015 yang berlangsung selama dua hari bermula 14 hingga 15 April 2026 di Wyndham, Ion Majestic, Genting Highlands.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, yang mewakili Ketua Pengarah DBP, menegaskan bahawa tanggungjawab juruaudit bukan sekadar menilai pematuhan prosedur kerja, malah turut bertindak sebagai pemacu kepada budaya penambahbaikan berterusan di dalam organisasi.

“Kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya diukur melalui dasar dan prosedur yang digubal, tetapi lebih penting melalui keupayaan organisasi melaksanakan sistem tersebut secara konsisten, berintegriti dan berakauntabiliti,” ujar beliau semasa merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, beliau turut menggariskan keperluan standard MS ISO 9001:2015 yang sangat menekankan risk-based thinking atau pemikiran berasaskan risiko. Pendekatan strategik ini menuntut organisasi bertindak lebih awal dalam mengenal pasti potensi risiko serta mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya, dan bukan hanya bertindak setelah masalah berlaku.

Majlis Konvensyen Juruaudit Dalaman MS ISO 9001:2015 yang berlangsung selama dua hari bermula 14 hingga 15 April 2026 di Wyndham, Ion Majestic, Genting Highlands.

Yang menariknya, konsep ini disifatkan sangat selari dengan prinsip Islam, khususnya melalui kaedah Usul Fiqh yang membawa maksud “kemudaratan mesti dihilangkan”.

Menerusi pendekatan ini, juruaudit dalaman tidak hanya menjalankan tugas teknikal, tetapi turut berperanan sebagai penasihat berhemah yang membantu organisasi membuat keputusan yang selamat dan beretika sambil memupuk budaya kerja berasaskan amanah.

Selain sesi pelantikan, konvensyen ini turut menjadi platform penting untuk para peserta membincangkan isu serta cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan audit dalaman.

Antara tiga cabaran utama yang diketengahkan termasuklah memastikan pematuhan terhadap prosedur kerja yang sentiasa berkembang selaras dengan perubahan dasar, keperluan operasi dan transformasi organisasi, memperkukuh kesedaran warga organisasi agar sistem yang dilaksanakan benar-benar menjadi alat pengurusan yang meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta mendepani persekitaran kerja yang semakin berasaskan teknologi digital, yang memerlukan pendekatan audit yang lebih dinamik, adaptif dan berpandangan ke hadapan.

Menerusi pelantikan barisan juruaudit baharu ini, DBP menzahirkan komitmen yang tinggi untuk terus memelihara kualiti organisasi melalui tadbir urus yang telus. Dedikasi ini diyakini mampu memastikan organisasi terus bergerak maju dan berdaya tahan dengan sistem pengurusan yang mantap serta berdaya saing pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi