Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) telah diadakan di Dewan Ebenezer, Sekolah Methodist Wesley (Menengah) Kuala Lumpur pada hari ini melibatkan penyertaan sebanyak 117 orang pelajar tingkatan tiga dan tingkatan empat, serta empat orang guru mata pelajaran Bahasa Melayu. Program yang diadakan ini merupakan insiatif Jabatan Bahasa, Sekolah Methodist Wesley (Menengah) Kuala Lumpur untuk menggalakkan pelajar membaca majalah Dewan Siswa agar dapat meningkatkan penguasaan kosa kata dalam bahasa Melayu untuk digunakan dalam penulisan karangan.

Program Kembara MDK ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengetua Sekolah Methodist Wesley (Menengah) Kuala Lumpur, iaitu Puan Pricillia Lashmi. Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi tentang Program Wesley Membaca yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah sejak tahun 2021 dengan menggunakan majalah Dewan Siswa sebagai wadah utama program tersebut.
Puan Siti Irni Yuslinda Mosman selaku editor majalah Dewan Siswa bersama-sama dengan fasilitator program telah memulakan aktiviti dengan kuiz spontan tentang penerbitan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Para pelajar bersungguh-sungguh merebut peluang untuk menjawab soalan. Melalui aktiviti kuiz ini, pelajar dapat mengenali majalah terbitan DBP secara khusus, seperti majalah Dewan Pelajar dan Dewan Bahasa. Fasilitator bertambah semangat apabila melihat komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh pelajar yang bersungguh-sungguh menjawab setiap soalan yang diajukan oleh editor ketika kuiz spontan.

Inisiatif ini dapat meningkatkan kefahaman pelajar tentang cara memanfaatkan majalah ini, terutamanya untuk menambahkan penguasaan kosa kata yang dapat digunakan dalam penulisan karangan mereka. Aktiviti menulis ulasan cerpen berdasarkan cerpen siswa telah diberikan kepada pelajar dalam kumpulan sembilan, 10 dan 11. Mereka ditugaskan untuk mengenal pasti tema, persoalan, watak dan perwatakan, serta plot cerpen.
Aktiviti yang dilaksanakan ini dapat memanfaatkan ilmu Komponen Sastera (KOMSAS) yang ditimba oleh mereka sewaktu di dalam kelas Bahasa Melayu di sekolah. Aktiviti ini bukan sekadar memantapkan kecekapan pelajar mengulas cerpen, malah meluaskan horizon pemikiran mereka untuk memahami kandungan bahan dari sudut yang berbeza apabila menganalisis cerpen mengikut konteks yang diberikan oleh fasilitator.
Selain itu, aktiviti merumuskan petikan yang diberikan kepada kumpulan lima, enam, tujuh dan lapan pula dapat memahirkan pelajar untuk mengenal pasti isi tersurat dan isi tersirat yang terdapat dalam sesebuah artikel. Setelah pelajar memahami kandungan artikel tersebut, mereka perlu mengenal pasti isi tersurat dan isi tersirat, serta membuat rumusan tentang artikel tersebut.
Tidak dinafikan bahawa, aktiviti ini dapat membantu pelajar menjawab soalan peperiksaan dengan mudah kerana inti pati aktiviti ini sangat relevan dengan teknik menjawab soalan ringkasan, rumusan dan petikan KOMSAS dalam peperiksaan.

Tambahan pula, para pelajar turut diberikan pencerahan tentang peluang menarik yang menanti mereka, sekiranya menjadi penyumbang kepada kandungan majalah Dewan Siswa pada setiap bulan. Ganjaran yang ditawarkan kepada penyumbang karya telah meningkatkan perasaan ingin tahu pelajar tentang ruangan yang dikhususkan kepada pelajar pada setiap bulan, iaitu ruangan puisi siswa, cerpen siswa dan minda remaja. Program ini telah menjadi jambatan penghubung antara pelajar dengan pihak DBP kerana murid dapat mengetahui saluran yang tepat untuk menghantar karya seperti sajak, pantun, karangan dan cerpen kepada editor majalah.
Aktiviti mengeja perkataan bahasa Melayu dengan tepat menekankan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam penulisan karangan sehingga boleh menjejaskan markah karangan secara keseluruhan. Keadaan ini menjadikan pelajar lebih cakna akan penggunaan perkataan yang sering dieja dengan salah oleh pengguna bahasa. Tamsilnya, “Keesokkan” sepatutnya dieja dengan menggunakan imbuhan apitan “ke…an” yakni “keesokan” dan “sekaligus” yang sepatunya dieja sekali gus.

Program Kembara MDK ini diakhiri dengan aktiviti kuiz menara belon. Dalam aktiviti ini, setiap kumpulan diberikan 10 belon yang mewakili 10 soalan. Setiap kumpulan perlu meniup belon tersebut dan membina menara tertinggi dan stabil dengan menggunakan belon yang diberikan oleh pihak urus setia. Satu belon akan diletupkan jika pelajar salah menjawab soalan yang diberikan. Kumpulan yang bertahan dengan menara yang mempunyai jumlah belon yang banyak akan menjadi juara. Program Kembara MDK ini diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik yang disampaikan oleh Drs. Sundarapandian a/l Valusamy.