Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Arau – Setiap satu unit darah yang didermakan mampu menyelamatkan lebih daripada seorang pesakit kerana boleh dipisahkan kepada beberapa komponen penting seperti sel darah merah, plasma dan platelet.
Pensyarah Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Ts. Dr. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir berkata bahawa bekalan darah yang mencukupi merupakan keperluan kritikal dalam dunia perubatan moden pada hari ini, khususnya bagi menyelamatkan nyawa ketika situasi kecemasan.
Menurut beliau, keperluan terhadap bekalan darah sentiasa tinggi memandangkan kes kemalangan, pembedahan dan rawatan penyakit kronik berlaku tanpa diduga. Bagaimanapun, jumlah penderma sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung permintaan semasa.
“Setiap titisan darah yang didermakan mampu menjadi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan. Amalan ini wajar dijadikan budaya dalam masyarakat kita,” ujar beliau ketika mengulas mengenai kepentingan amalan tersebut baru-baru ini.
Dr. Nor Atikah menjelaskan, amalan derma darah bukan sekadar satu tindakan sukarela, sebaliknya mencerminkan nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan semangat membantu sesama insan dalam membina masyarakat yang sejahtera.
Mengulas mengenai kebimbangan masyarakat, beliau menjelaskan bahawa tubuh manusia mempunyai keupayaan semula jadi untuk menggantikan semula darah yang telah didermakan.
“Plasma darah akan pulih dalam tempoh 24 hingga 48 jam, manakala sel darah merah pula mengambil masa beberapa minggu untuk kembali ke paras normal,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan, beliau menegaskan setiap individu wajib melalui pemeriksaan kesihatan asas terlebih dahulu sebelum dibenarkan menderma. Saringan ini melibatkan pengisian soal selidik, pemeriksaan berat badan, tekanan darah dan ujian paras hemoglobin.
“Keselamatan penderma sentiasa menjadi keutamaan. Saringan ini penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Individu yang tidak memenuhi syarat akan dinasihatkan untuk menangguhkan pendermaan sehingga mereka benar-benar bersedia,” tambah beliau.
Selain menyelamatkan nyawa orang lain, amalan ini turut memberikan impak positif kepada kesihatan penderma sendiri, antaranya termasuklah membantu mengawal tahap zat besi dalam badan serta merangsang penghasilan sel darah baharu yang lebih sihat.

Namun begitu, beliau mengakui masih terdapat cabaran untuk meningkatkan kesedaran awam disebabkan beberapa faktor seperti rasa takut, kurang pendedahan maklumat dan kekangan akses ke lokasi pendermaan.
Tegas beliau, dalam situasi dunia yang semakin mencabar, tindakan kecil seperti menderma darah mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan insan lain, sekali gus memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat.