Diterbitkan pada 5 Mei 2026, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjung Manis – Pengiktirafan Sarawak Delta Geopark sebagai tapak UNESCO Global Geopark bukan sekadar pencapaian berprestij, malah merupakan peluang keemasan untuk merancakkan ekonomi masyarakat tempatan dan mengangkat nama Sarawak ke pentas dunia.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata bahawa pengiktirafan itu bakal memberikan limpahan manfaat yang besar,khususnya kepada komuniti pesisir menerusi pembukaan peluang baharu dalam sektor pelancongan, perkhidmatan serta perusahaan tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sesi taklimat program bimbingan SeJaTI MADANI Daerah Tanjung Manis, baru-baru ini.

Sarawak bukan sahaja kaya dengan khazanah alam, tetapi juga mempunyai kekuatan dalam aspek budaya dan produk makanan yang mampu diketengahkan pada peringkat dunia,” katanya.

Bagi membuktikan potensi besar tersebut, beliau memberikan contoh kejayaan beberapa produk tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Hal ini termasuklah produk Tenun Rajang yang mendapat pengiktirafan sehingga berjaya dipamerkan di Paris, Perancis.

Selain itu, produk lada Sarikei serta madu tempatan juga semakin mendapat tempat dan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna pada pasaran global.

Menurut Datuk Len Talif lagi, status berprestij UNESCO itu turut membuktikan nilai geologi kawasan Delta Sarawak yang mempunyai sejarah pembentukan bumi menjangkau jutaan tahun.

Keistimewaan itu secara langsung menjadikannya antara lokasi kajian geologi yang paling penting di rantau ini. Nilai geopark ini turut ditambah dengan keunikan biodiversiti flora dan fauna, serta warisan budaya masyarakat setempat yang pelbagai dan kaya dengan identitinya yang tersendiri.

Pencapaian ini sekali gus membuktikan bahawa negeri Bumi Kenyalang itu memiliki pakej yang lengkap merangkumi kekayaan sumber alam, kekuatan budaya serta kualiti produk tempatan yang berpotensi besar untuk terus mewarnai pasaran dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi