Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Kesedaran terhadap ancaman jurnal pemangsa dalam dunia akademik perlu diperkukuh bagi memastikan hasil penyelidikan diterbitkan dalam platform yang berwibawa dan diiktiraf masyarakat saintifik global.
Perkara tersebut diketengahkan menerusi webinar bertajuk The Tips and Tricks in Academic Publishing anjuran Unit Literasi Maklumat, Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Elsevier.
Program yang berlangsung secara dalam talian itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Puan Zuhaslinda Sulaiman, Pustakawan Tingkatan Kanan, Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan, Unit Literasi Maklumat, Seksyen Sokongan Penyelidikan, PTAR, UiTM.
Dalam ucapannya, beliau berharap webinar ini mampu membantu pensyarah dan penyelidik memperkukuh perjalanan penerbitan ilmiah selain meningkatkan kualiti dan hasil penyelidikan pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Program ini diharap dapat memberikan pendedahan berharga kepada para pensyarah dan penyelidik berkaitan strategi berkesan dalam penerbitan akademik. Para peserta akan memperoleh panduan praktikal tentang pemilihan jurnal yang bersesuaian, mengelakkan kesilapan lazim ketika penghantaran manuskrip, memahami proses semakan rakan sebaya serta meningkatkan keterlihatan dan impak penyelidikan masing-masing,” kata beliau.
Webinar tersebut menampilkan YBrs. Dr. Benny Ang, Customer Success Manager Elsevier yang berkepakaran dalam bidang farmakologi dan toksikologi.

Sepanjang sesi tersebut berlangsung, beliau membincangkan empat topik utama merangkumi tanda amaran jurnal pemangsa, persoalan penting ketika menilai jurnal, senarai semak menentukan reputasi jurnal serta penggunaan pelbagai alat digital bagi membantu pencarian jurnal bersesuaian.
Menurut beliau, penyelidik boleh mendapatkan pandangan bernas daripada rakan penyelidik, mentor, penyelia serta pustakawan sebelum membuat keputusan menghantar manuskrip ke sesebuah jurnal.
“Jangan hanya bergantung kepada e-mel jemputan penerbitan yang kelihatan meyakinkan. Penulis perlu menyemak sendiri reputasi jurnal melalui pangkalan data akademik dan rekod penerbitannya,” jelas beliau.
YBrs. Dr. Benny Ang turut menasihati para peserta agar melakukan carian dalam talian secara teliti termasuk jurnal yang sering dirujuk dalam artikel utama bidang masing-masing serta mengenal pasti lokasi penerbitan oleh penyelidik terkenal.
Selain itu, beliau menjelaskan beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan ketika memilih jurnal yang merangkumi format manuskrip, status akses terbuka (open access), fokus multidisiplin atau interdisiplin serta kesesuaiannya dengan penerbit tertentu.
Selain itu, beliau turut memperkenalkan beberapa platform pencarian jurnal seperti The Directory of Open Access Journals (DOAJ), Enago Open Access Journal Finder, Scopus, Edanz Journal Selector, Journal Guide, UlrichsWeb Global Serials Directory serta Elsevier Journal Finder.

Dalam sesi demonstrasi, beliau menerangkan fungsi metrik seperti CiteScore, impact factor, kadar penerimaan manuskrip, tempoh keputusan pertama serta tempoh penerbitan yang sering menjadi pertimbangan utama penulis akademik.

“Antara punca utama manuskrip ditolak oleh editor termasuklah kandungan kajian tidak selari dengan skop jurnal. Oleh itu, penulis perlu memahami secara mendalam objektif dan bidang liputan jurnal sebelum membuat penghantaran,” kata beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan para peserta supaya memastikan jurnal yang dipilih mematuhi keperluan institusi atau badan pembiaya penyelidikan kerana kegagalan mematuhi syarat tertentu boleh menjejaskan peluang pembiayaan dan kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa penulis tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada dakwaan jurnal yang mengaku tersenarai dalam pangkalan data akademik kerana terdapat jurnal pemangsa yang turut membuat tuntutan palsu.
“Penyelidik perlu menyemak sendiri status jurnal dalam pangkalan data yang mempunyai proses pemilihan ketat seperti Scopus bagi mengelakkan manuskrip diterbitkan dalam jurnal yang bermasalah,” ujar beliau.

Mengakhiri sesi pembentangan, YBrs. Dr. Benny Ang turut berkongsi beberapa contoh jurnal yang pernah dihentikan pengindeksannya oleh Scopus akibat isu integriti dan amalan penerbitan yang meragukan.
Penganjuran webinar tersebut dilihat selari dengan usaha UiTM dalam memperkukuh budaya penyelidikan berintegriti dalam kalangan warga akademik di samping meningkatkan literasi maklumat berkaitan penerbitan ilmiah yang semakin mencabar pada era digital masa kini.