Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 21:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pensyarah muda disarankan memberikan tumpuan kepada pengukuhan kemahiran pengajaran pada peringkat awal kerjaya akademik terlebih dahulu sebelum terlalu mengejar pencapaian dalam penyelidikan dan penerbitan.

Demikian pernyataan daripada tokoh akademik, mantan Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Dr. Haji Khudzir Haji Ismail ketika sesi perkongsian yang bertajuk “Ambition Meets Academia: Your Path to Early Success” bersama-sama dengan Koordinator Pengurusan Penyelidikan UiTM Cawangan Perlis, YBrs Dr. Ahmad Suhail Khazali.

Beliau berkata, “Pensyarah muda perlu mempunyai hala tuju kerjaya yang jelas sejak awal, termasuk menetapkan sasaran jangka panjang seperti mencapai jawatan profesor pada usia tertentu melalui perancangan yang strategik dan realistik.”

Menurut beliau, sistem akademik universiti bukan sahaja menilai pencapaian penyelidikan, malah turut memberikan penekanan besar terhadap keberkesanan pengajaran dan pembangunan pelajar.

“Pensyarah muda kebiasaannya bersemangat untuk memulakan penyelidikan sebaik-baik sahaja memasuki universiti. Namun, perkara paling utama ialah memantapkan kemahiran pengajaran terlebih dahulu kerana tugas utama seorang pensyarah ialah mendidik pelajar,” ujar beliau.

Tambah beliau, pensyarah yang memiliki kelayakan doktor falsafah (PhD) sebenarnya telah mempunyai asas kukuh dari segi penyelidikan dan penulisan akademik, namun cabaran sebenar ialah cara menyampaikan ilmu dengan berkesan kepada pelajar.

“Tidak guna seseorang itu hebat dalam penyelidikan, tetapi gagal menyampaikan ilmu dengan baik kepada pelajar. Penilaian pelajar terhadap pengajaran juga menjadi petunjuk penting kepada keberkesanan seseorang pensyarah,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan pelajar dalam sesuatu kursus perlu dijadikan refleksi kepada kaedah pengajaran pensyarah.

“Kalau terlalu ramai pelajar gagal, kita perlu muhasabah sama ada cara penyampaian kita benar-benar membantu pelajar memahami kandungan kursus,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan pensyarah muda supaya tidak terlalu obses terhadap penerbitan berimpak tinggi pada peringkat awal kerjaya, sebaliknya membina asas pengalaman secara berperingkat melalui geran dalaman, persidangan akademik dan penyeliaan pelajar pascasiswazah.

Tambah beliau, pensyarah muda juga perlu aktif melibatkan diri dalam aktiviti fakulti, khidmat masyarakat serta jaringan profesional kerana semua elemen tersebut menjadi sebahagian daripada penilaian untuk kenaikan pangkat.

“Pemikiran positif sangat penting. Kita perlu memahami bahawa apabila kita memilih untuk berada dalam sistem universiti, kita juga perlu bersedia memenuhi tuntutan dan tanggungjawab sistem tersebut,” ujar beliau.

Beliau turut menyentuh kepentingan budaya kerja berpasukan dalam kalangan ahli akademik menerusi kumpulan penyelidikan atau Special Interest Group (SIG) bagi memperkukuh produktiviti penyelidikan dan pembangunan kepakaran.

Selain itu, beliau berkata pensyarah perlu sentiasa keluar daripada zon selesa dan mempunyai keinginan untuk terus berkembang dalam kerjaya akademik.

“Kalau sudah terlalu lama berada pada satu tahap tanpa perkembangan, itu petanda kita mungkin berada dalam zon selesa. Ahli akademik perlu sentiasa mencabar diri untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Beliau juga memuji inisiatif UiTM yang memperkenalkan empat trek kerjaya akademik iaitu pengajaran, penyelidikan, kepimpinan dan pengamal profesional bagi mengiktiraf kepelbagaian kekuatan pensyarah.

Menurutnya, pensyarah yang cenderung kepada bidang pengajaran masih mempunyai peluang besar untuk cemerlang melalui inovasi pedagogi, pembangunan kaedah pembelajaran kreatif dan penyertaan dalam anugerah akademik pada peringkat universiti serta kebangsaan.

“Universiti seperti UiTM sepatutnya mampu menjadi peneraju dalam bidang pengajaran dan pembelajaran kerana kita merupakan universiti komprehensif yang sangat dekat dengan dunia pendidikan,” ujar beliau.

Sesi perkongsian ini telah dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis.

Kredit Foto: Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri dengan kerjasama Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi