Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, berkuat kuasa pada 15 Julai 2026.
Menurut kenyataan FELDA, pelantikan YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti dan pengalaman luas beliau dalam menerajui organisasi strategik serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan dan meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif,” kata kenyataan itu.
FELDA turut menaruh keyakinan tinggi bahawa di bawah teraju YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir, organisasi tersebut mampu memperkukuh agenda transformasi kumpulan, sekali gus mencipta nilai yang lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.
Langkah itu juga diharap dapat membawa organisasi melakar pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan peneroka dan kemakmuran generasi masa hadapan terus terpelihara.
YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak mula menyertai Kementerian Kewangan pada tahun 1989, sebelum memuncak sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari tahun 2018 hingga 2020.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Ahli Lembaga Pengarah di beberapa institusi utama negara antaranya termasuklah Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Kini, beliau masih memegang jawatan penting sebagai Pengerusi RHB Bank Berhad, Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), di samping menjadi Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.
Dari segi latar belakang akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).