20 November 2022, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Jeniri Amir.

“Jelas, seperti yang dijangkakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiada parti yang dominan sehingga boleh membentuk kerajaan.” Demikian menurut Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Jeniri Amir, ketika diwawancara oleh Dewan Masyarakat, awal pagi ini.

Tambah Profesor Dr. Jeniri, “Pada PRU-15, dilema pengundi kini dilihat apabila mereka tidak mahu memilih Pakatan Harapan (PH) dan tidak juga mahu mengundi Barisan Nasional (BN). Pada masa yang sama, pengundi tidak memberikan kepercayaan kepada Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pilihan yang ada hanyalah memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).”

Pengundi BN dilihat beralih arah rentetan tindakan parti tersebut menggugurkan nama besar sebagai calon, misalnya di Parlimen Arau, Shahidan Kassim, dan beberapa orang pemimpin lain. Akan tetapi, pada hakikatnya, faktor utama penyokong BN beralih arah adalah kerana parti itu dikaitkan dengan imej buruk seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Menurut beliau lagi:

Walaupun mereka beriya-iya benar untuk berdepan dengan PRU-15, namun dilihat berlaku juga sabotaj dalaman parti.

Selain itu, Profesor Dr. Jeniri juga berkata, “Berkemungkinan peratusan keluar mengundi yang selama ini menyokong UMNO tidak turun mengundi, malah mereka tidak juga memberikan sokongan yang kuat kepada PH khususnya dalam kalangan pengundi Melayu. Tambahan pula, faktor pengundi muda juga kelihatan memberikan impak yang besar apabila mereka tidak memberikan sokongan kepada BN.”

PN dianggap sebagai parti yang bersih daripada sebarang kontroversi.

Secara relatifnya, penganalisis politik ini berpendapat bahawa PN dilihat oleh pengundi sebagai parti yang bersih; dan dalam masa yang sama, pentadbiran PH telah pun dinilai selama 22 bulan ketika memerintah negara sebelum ini. Jelas beliau:

GTA pula dianggap sebagai parti yang memang lemah. Dalam PRU-15 ini, sebahagian besar daripada calon GTA juga hilang wang pertaruhan. Maka itu, pengundi melihat pilihan terbaik yang ada ialah PN. Oleh sebab itulah secara keseluruhannya, PN memenangi 73 kerusi.

 

Siapakah yang bakal membentuk kerajaan, PN atau PH?

Profesor Dr. Jeniri turut berpandangan bahawa parti yang dapat menarik perhatian gabungan lain termasuk BN dan gabungan dari Sabah dan Sarawak ialah PN, berbanding dengan PH. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka sudah tahu dan sudah selesa dengan PN, susulan daripada kerjasama antara mereka sebelum ini. Tambahan pula, khususnya daripada pihak PN, mereka tidak mahu memberikan kerjasama dengan PH selagi ada DAP yang berada dalam pakatan itu.

Tengah malam tadi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa beliau telah menerima surat daripada Istana Negara dengan arahan tertentu, jadi seolah-olah memberikan gambaran bahawa beliau sudah pun berhubung dengan gabungan tertentu dan mendapat sokongan. Namun begitu, pada masa yang sama, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau juga bakal membentuk kerajaan. Beginilah keadaannya sekitar kira-kira pukul 3.00 pagi tadi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.