Diterbitkan pada 15 Ogos 2021, 10:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak awal tahun 2021, berlaku peningkatan kes COVID-19 yang mendadak di negara ini. Perkembangan tersebut bukan sahaja menjejaskan sektor ekonomi, malah turut memberikan risiko kepada pelbagai sektor sosial termasuklah sektor pendidikan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan medianya pada 17 Julai lalu, mengumumkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan hingga 31 Ogos 2021 dan juga menetapkan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September 2021.

Keputusan yang diambil ini mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama antara KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tarikh menuju 31 Ogos 2021 berbaki lebih kurang dua minggu lagi. Ibu bapa pastinya berasa gusar untuk menghantar anak-anak mereka hadir ke sekolah bagi mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka. Hal ini dikatakan demikian kerana kes baharu COVID-19 yang dilaporkan oleh KKM tidak menunjukkan penurunan. Hingga 14 Ogos 2021, jumlah kes baharu yang dicatat adalah sebanyak 20 670.

Walaupun begitu, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pembukaan sekolah secara bersemuka ini pastinya akan mengambil kira penilaian risiko semasa yang akan dilakukan secara terperinci oleh pihak KKM dan MKN.

Hal ini dikatakan demikian kerana sebelum ini, sesi persekolahan secara bersemuka yang bermula pada 1 Mac lalu juga terpaksa dijadualkan semula apabila berlaku peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara. Keadaan ini membuktikan bahawa penetapan takwim persekolahan meskipun telah diumumkan, namun masih bergantung pada perkembangan semasa pandemik COVID-19.

Selain itu, menurut data KPM, hingga 7 Ogos 2021, sebanyak 352 649 orang guru atau meliputi 85.41 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala bagi guru kelas peperiksaan pula merekodkan sebanyak 84 995 orang (94.89 peratus).

Jumlah vaksinasi dalam kalangan guru juga pastinya menjadi kriteria penting dalam penetapan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka kelak. Hal ini telah dinyatakan oleh pihak KPM dalam kenyataan medianya pada 17 Julai yang lalu bahawa KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus dipertingkatkan.

Selain guru, pentadbir dan kakitangan sekolah, pada 13 Ogos lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin melalui ciapan beliau di Twitter menyatakan bahawa vaksinasi akan diberi kepada individu yang berumur antara 12 hingga 17 tahun mengikut keutamaan, iaitu individu yang mempunyai masalah kronik, diikuti dengan mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Menurut Khairy, perkara ini akan diumumkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada minggu depan.

Perkara ini juga pastinya akan diambil kira oleh KPM dalam menentukan pembukaan sekolah secara bersemuka. Hingga hari ini, belum ada sebarang ketetapan baharu berhubung dengan pembukaan sekolah seperti yang telah digariskan oleh MKN pada 10 Ogos lalu, iaitu:

  • Bagi negeri yang berada dalam kelompok Fasa 1 Pelan pemulihan Negara (PPN), semua sekolah ditutup dan sebarang aktiviti PdP secara bersemuka tidak dibenarkan.
  • Bagi negeri Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka, tetapi terhad kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan bagi tahun 2021. MKN juga memberikan kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah kepada guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka.
  • Bagi negeri Fasa 3 PPN, PdP akan dijalankan untuk semua murid secara berperingkat tertakluk pada ketetapan KPM dengan mengambil kira penilaian risiko oleh KKM dan MKN.

Yang jelas, dalam membuat sebarang keputusan, KPM pastinya akan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 negara menerusi pertimbangan yang dibuat oleh  KKM dan MKN. KPM juga sudah menjelaskan dalam sidang medianya sebelum ini bahawa sebarang perubahan akan dimaklumkan lebih awal, iaitu selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka. Maka itu, semua pihak seharusnya tidak menimbulkan polemik, sebaliknya bersabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada MKN dan KPM.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi