Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023, Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan sesi pelancaran dan bicara buku kanak-kanak 1,2,3 Hembus di Reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pagi tadi.
Buku kanak-kanak karya Puan Mimi Salleh ini telah dilancarkan oleh Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Encik Armin Azhari Saleh; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan juga murid-murid dari Tadika Smart Reader Kids Setiawangsa, guru-guru pengiring berserta ibu bapa.
Dalam ucapan perasmiannya, Puan Fauzilahyatun mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Mimi Salleh atas penghasilan buku ini. Menurutnya lagi, pencapaian beliau ini amat membanggakan dan seharusnya menjadi pendorong kepada penulis lain untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Selain memperkaya ilmu dan menjadi wahana didik hibur, buku kanak-kanak dapat dijadikan medan pembentukan sahsiah dan peribadi kepada golongan sasaran. Sesungguhnya, masyarakat yang berilmu harus dipupuk sejak kecil lagi melalui aktiviti membaca. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka akan terus berusaha untuk menerbitkan buku kanak-kanak dan remaja yang bermutu bagi memenuhi permintaan pembaca.
Pelancaran buku ini disiarkan secara langsung melalui platform media sosial, Facebook DBP dan diteruskan dengan slot bicara buku dan sesi bercerita oleh penulis bersama-sama murid-murid tadika Smart Reader Kids Setiawangsa. Mengambil inspirasi daripada cerita rakyat dari Iran dan juga daripada kisah Nabi Ibrahim a.s., Puan Mimi turut berkongsi serba sedikit mengenai kisah dalam 1,2,3 Hembus dan turut mengadakan sesi soal jawab santai bersama-sama murid tadika. Kemeriahan turut dirasai dengan keceriaan dan kegembiraan murid-murid tadika semasa sesi bercerita dan sesi soal jawab tersebut.
Mula bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1998, Puan Mimi Salleh yang juga pengasas Swaterbit Kids Book (SKB), sebuah platform pembangunan kandungan secara inovatif untuk penulis swaterbit buku bergambar kanak-kanak turut menzahirkan rasa bersyukur atas penerbitan karya ke-16 hasil tulisannya. Buku 1,2,3 Hembus juga telah dibawa ke Pesta Buku Frankfurt (Frankfurt Book Fair). Selain aktif dalam membimbing penulis baharu untuk menapak dalam bidang penulisan buku kanak-kanak, Mimi turut menggabungkan minatnya dalam bidang penulisan dan juga bidang seni dalam memperkenalkan “kirigami”, iaitu seni guntingan kertas dan sering mengadakan kursus dan kelas mengenai seni ini bersama-sama kanak-kanak.
Menyentuh tentang industri buku kanak-kanak di Malaysia, Mimi menyatakan bahawa masih terdapat kelompangan dalam industri ini, berbanding dengan di luar negara yang menunjukkan buku kanak-kanak menduduki tiga tangga teratas genre buku yang paling popular. Beliau menzahirkan harapan agar melalui medium yang telah disediakan, lebih banyak penulis buku kanak-kanak dapat menimba ilmu tentang penghasilan buku secara langkah demi langkah termasuklah ilmu tentang cara penjualan buku dan cara menghasilkan buku yang berkualiti serta mampu menambat pasaran industri buku di Malaysia.
Foto: Mohamad Adib Zulkifli