Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mantan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menyifatkan tempoh 18 bulan beliau sebagai peneraju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara.
Menurut beliau, banyak perkara tunjang di KPM yang berlarutan bertahun-tahun lamanya telah dapat diselesaikan dan sebahagiannya sedang diselesaikan.
Selain menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan, banyak juga penambahbaikan yang telah dan sedang dilaksanakan. Insya-Allah, sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaik-baiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi.
Beliau turut berkata, “sejujurnya, mengurus KPM pada waktu pandemik COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah. Tidak ada sesiapa pun antara kami di KPM atau di luar sana pernah melaluinya. Oleh sebab itu, kami amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan yang amat mendalam selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.”
Kini, dengan kadar vaksinasi yang semakin meningkat, negara hampir keluar daripada kemelut pandemik COVID-19. Tempoh persinggahan yang dizinkan Allah di KPM akhirnya tamat semalam.

Menerusi hantaran di media sosial, Dr. Radzi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin kerana telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi sebuah kementerian yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan generasi pewaris negara.
Dr. Radzi turut berterima kasih kepada dua orang pendokong utama beliau di KPM – Ketua Setiausaha, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datin Sri Nor Zamani Abdol Hamid – atas jasa baik dan usaha gigih yang dilakukan. “Terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh kakitangan KPM, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang bertungkus-lumus memastikan segala perancangan dapat berjalan dengan baik,” ujar Dr. Radzi.
Tambah beliau, “untuk guru-guru, terima kasih atas bakti dan keringat yang dicurahkan dalam tempoh sukar ini. Semua dalam kalangan kita tidak pernah melalui situasi sebegini, jadi kita sentiasa sama-sama berikhtiar untuk dapatkan penyelesaian terbaik. Masing-masing telah berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat. Tidak kira sama ada secara bersemuka atau pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Apa-apa yang penting, murid terus mendapat akses kepada pendidikan.”
Dr. Radzi menginsafi bahawa dirinya cuma dipinjamkan oleh Allah SWT untuk mengemudi KPM dalam tempoh yang amat sukar dan tidak pernah dilalui oleh mana-mana Menteri Pendidikan sebelum ini.
Amanah mengemudi KPM telah saya pikul dengan seikhlas hati tanpa sekelumit niat lain selain melihat kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat yang jauh lebih tinggi.
