Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGagasan Malaysia MADANI seperti yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu ikhtiar terkini dalam memastikan dasar dan tatakelola atau tadbir urus pentadbiran negara menjadi lebih baik dan berkesan. Gagasan Malaysia MADANI juga merupakan kerangka konsep yang memberikan penekanan terhadap pemerkasaan masyarakat, ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai, etika dan akhlak.
MADANI secara umumnya bermakna “kota yang beradab” yang mempunyai sekurang-kurangnya enam prinsip utama, iaitu:
Gagasan Malaysia MADANI amat bertepatan dengan prinsip Keadilan (al-Adl) dan Keihsanan (al-Ihsan) yang dianjurkan oleh Islam. Konsep al-Adl Wal Ihsan perlu menjadi prinsip pembimbing (guiding principles) dalam dasar pembinaan negara. Firman Allah SWT, “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh berlaku adil dan berbuat kebajikan” (al-Quran, An-Nahl 16:90).
Secara umumnya, al-Adl bermaksud keadilan, kesaksamaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan. Konsep al-Adl merangkumi dasar dan tindakan seperti adil terhadap orang lain, memenuhi kewajiban dan menghormati hak semua anggota masyarakat.
Manakala, al-Ihsan (Kesempurnaan) bermaksud melakukan segala sesuatu dengan baik dan penuh ketulusan. Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa Ihsan sebagai, “Beribadahlah kepada Allah SWT seakan-akan anda melihat-Nya, dan jika anda tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat anda” (Hadis, al-Bukhari).
Konsep al-Ihsan mencakupi makna beribadah dengan penuh keikhlasan dan kesedaran akan kekuasaan Allah SWT. Konsep ini juga menerangkan bahawa seseorang manusia itu perlu berbuat baik kepada keluarga dan masyarakat dengan penuh bertanggungjawab.
Konsep keadilan dan keihsanan (Aal-Adl wal Ihsan) juga merupakan asas penting dalam pembinaan sistem ekonomi dan kemasyarakatan bagi memastikan kehidupan manusia mencapai keseimbangan antara kejayaan material dengan spiritual. Menekuni penulisan Mohammad Nejatullah Siddiqi, iaitu seorang tokoh ekonomi Islam, sistem ekonomi Islam perlu dibina atas beberapa asas utama seperti yang berikut:
Muhamad Umer Chapra, iaitu seorang pemikir ekonomi Islam membuat penegasan bahawa pentingnya sistem kewangan Islam yang bebas sepenuhnya daripada riba. Hal ini demikian kerana riba bertentangan dengan prinsip keadilan dan keihsanan Islam. Sistem ekonomi berasaskan riba mementingkan sifat ketamakan tanpa mengambil kira golongan yang memerlukan. Yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan terabai.
Sebagai alternatif, instrumen kewangan Islam mestilah didasari dengan prinsip keadilan dan keihsanan. Kaedah perniagaan dan instrumen kewangan sepatutnya berasaskan perkongsian keuntungan, antaranya termasuklah menggunakan prinsip mudarabah (perkongsian) dan musyarakah (perkongsian untung dan rugi).
Chapra juga menegaskan keperluan pasaran modal dan perniagaan yang bebas dalam menentukan harga dan jenis barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, kerajaan masih perlu berperanan memastikan keadilan dan ketelusan pasaran.
Sistem perbankan Islam menurut Chapra perlu memastikan kesejahteraan semua pihak dan bukan semata-mata keuntungan pemegang saham. Pengguna perbankan Islam mestilah mendapat perkhidmatan yang adil dan cekap. Perbankan Islam perlu menawarkan perkhidmatan kewangan yang lebih inklusif dalam memenuhi keperluan bukan sahaja untuk golongan yang berkemampuan tetapi juga kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Perbankan Islam juga perlu menawarkan produk kewangan Islam yang kompetitif harganya dengan produk kewangan konvensional. Perkhidmatan perbankan Islam mestilah cekap dalam pengurusan dan operasi serta mesra pelanggan. Semua insiatif sebegini amat menepati konsep al-Adl Wal Ihsan.
Institusi zakat pula merupakan satu daripada rukun Islam yang utama. Zakat diwajipkan kepada setiap orang Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Zakat bermaksud mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu untuk diagihkan kepada golongan fakir dan miskin serta penerima yang layak. Tujuan utama zakat adalah untuk mengagihkan kekayaan daripada golongan yang berkemampuan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Dari aspek spiritual, zakat akan membersihkan diri pembayar zakat dan menyuburkan harta pembayar zakat selain menanam sifat bersyukur terhadap nikmat yang diberikan oleh Allah SWT. Secara intrinsik, zakat akan mengurangkan perasaan iri hati dalam kalangan penerima agihan zakat yang terdiri dariapada golongan fakir dan miskin.
Tadbir urus dan pengurusan institusi zakat di Malaysia mestilah diurus dengan cekap berasaskan konsep al-Adl wal Ihsan. Pengurusan institusi zakat mestilah berusaha mencapai keadilan dan muafakat ekonomi. Perkara ini termasuklah memastikan keperluan hidup asasi asnaf zakat (penerima yang layak) dapat dipenuhi dan memastikan pengagihan zakat teratur dan adil.
Pengurusan institusi zakat mestilah cekap dan dilihat cekap oleh masyarakat serta diuruskan dengan penuh amanah. Keadilan dan keihsanan institusi zakat juga mestilah dinilai sebagai sebahagian daripada keperluan beribadah kepada Allah SWT dan bukan sekadar memenuhi keperluan ekonomi semata-mata.
Bagi mencapai aspirasi gagasan Malaysia MADANI, perkhidmatan institusi kewangan Islam dan institusi zakat perlu ditransformasikan agar selari dengan prinsip al-Adl Wal Ihsan. Sudah sampai masanya, institusi kewangan Islam dan institusi zakat menilai kembali nilai proposisi perkhidmatan mereka. Jika tidak, umat Islam akan terus mempersoalkan sejauh manakah institusi kewangan Islam dan insitusi zakat dapat memenuhi kehendak Islam?
Penulis ialah mantan profesor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM).