Diterbitkan pada 11 Julai 2024, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung selama dua hari diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Kuala Lumpur – Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 merupakan platform utama untuk memantapkan kemahiran komunikasi pada peringkat tertinggi, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah, sekali gus membantu memperkasakan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengatakan bahawa DBP sentiasa komited dalam usaha memastikan bahasa Melayu digunakan secara adab dan santun dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pelajar sekolah.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu perlu dititikberatkan dalam kalangan rakyat.

Perlunya rakyat Malaysia berbangga dengan bahasa Melayu dan jadikanlah aktiviti seperti Forum Remaja ini suatu medan untuk meluaskan atau mengembangkan perbendaharaan bahasa Melayu, mencambahkan mana-mana yang kurang dan memupuk mana-mana yang longgar supaya penguasaan bahasa Melayu para pelajar semakin kaya dan luas.

Tambah beliau,

Hal ini amat penting disebabkan jika elemen bahasa kebangsaan yang menjadi ‘tiang seri’ bagi negara kita musnah, maka usaha kita untuk bersama-sama membina Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif akan menemui kegagalan.

“Yakinlah bahawa ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

Demikianlah kata beliau dalam ucapan Majlis Penutupan Perasmian Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024.

Menurut beliau, program yang penuh dengan nilai keilmuan dan kesantunan berbahasa ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana bahasa wahana kedaulatan jiwa dan tenaga kekuatan bangsa.

Pelajar SMK Baru Bintulu, Sarawak merangkul kejuaran bagi pertandingan forum tahun ini.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru Bintulu, Sarawak dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama menewaskan 16 buah pasukan yang lain dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2500 dan sijil berserta hadiah iringi buku terbitan DBP.

Bagi tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Tarcisian Convent, Perak yang turut memperoleh sebanyak RM1500 dan sijil berserta hadiah iringan dan tempat ketiga dimenangi oleh SMK Kuhara, Tawau yang turut membawa pulang RM1000 berserta sijil dan hadiah iringan.

Manakala, sagu hati pula dimenangi oleh tiga buah sekolah, iaitu SMK Jengka Pusat, Pahang; Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah; dan SMK Tun Syed Zahiruddin, Melaka, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM500, sijil serta hadiah iringan.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 10 dan 11 Julai 2024 melibatkan seramai 16 pasukan mengilap bakat besar dalam diri pelajar dan turut diakui oleh Ketua Bahagian Perkamusan, Encik Abdul Ghani Abu merangkap Ketua Juri pertandingan itu.

Namun begitu, secara keseluruhannya, beliau berpendapat bahawa terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik dari segi kupasan isu kerana pemarkahan dinilai dari segi kematangan dan kepelbagaian hujah, ketepatan susunan dan kepetahan huraian bersertakan bukti.

Encik Abdul Ghani Abu memberikan ulasan secara keseluruhan tentang pertandingan forum itu.

Pemilihan tajuk yang tepat juga faktor terpenting kerana forum perlulah ada isu dan penyelesaian dari sesuatu topik dan perlu dianalisis huraian sebaik-baik yang mungkin kerana ada pasukan yang memberikan fakta tanpa ada penganalisis yang menghuraikan isu dengan teliti.

Ujarnya,

Walau bagaimanapun, ada pasukan yang berjaya mendapat markah tinggi dalam penilaian kerana dapat mewujudkan suasana kontra, yakni ada panel bersetuju dan tidak bersetuju dalam perbincangan itu.

“Ini merupakan satu kelainan yang memberikan kelebihan kepada pasukan tersebut.

Oleh hal yang demikian, beliau mencadangkan adanya bengkel bimbingan yang menggabungkan forum remaja dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) agar forum yang akan datang mendapat saingan lebih sengit dan hebat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi