Diterbitkan pada 23 Julai 2024, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur–Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 meningkat kepada 2.84 berbanding dengan 2.82 pada tahun lalu.

Kenyataan tersebut dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya semasa Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM & MUET 2023, hari ini di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia.

Dalam ucapan yang sama, beliau menyatakan bahawa program khas Kolej Tingkatan 6 Premium bakal diadakan mulai tahun hadapan bagi memastikan program pengajian ini menjadi pilihan utama pelajar pasca SPM.

YB Fadhlina Sidek ketika menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Kebangsaan STPM dan MUET Tahun 2023.

Menurut beliau, program khas tersebut merupakan kerjasama silang antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Ujarnya,

Usaha ini adalah bagi memastikan kedudukan, pencapaian, peranan serta sumbangan mereka (pelajar STPM) dalam bidang-bidang lain dapat kita berikan tumpuan.

“Kita juga melihat pengiktirafan kepada STPM ini terus mendapat tempat bukan sahaja di universiti dalam negara, tetapi juga di luar negara.

“Jadi, kita perlulah memberi semangat kepada anak-anak kita bahawa pengiktirafan STPM ini sangat tinggi nilainya,” tambah beliau lagi.

Pada tahun ini, sebanyak 1116 calon STPM 2023 berjaya memperoleh keputusan cemerlang, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Sementara itu, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah memilih 17 pelajar STPM terbaik mengikut kategori dalam majlis anugerah ini.

Kategori anugerah yang disampaikan termasuklah 10 anugerah STPM terbaik keseluruhan, lima anugerah pelajar terbaik calon Berkeperluan Pendidikan Khas dan dua anugerah pelajar terbaik kategori Orang Asli.

Terdahulu, MPM menganjurkan Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2023 dan diumumkan oleh Pengerusi MPM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi