Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Brunei – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia melalui DBP Cawangan Sabah mencatat sejarah baharu dengan penyertaan julung-julung kali dalam Pesta Buku Brunei 2024 yang berlangsung selama 11 hari bermula dari 2 November hingga 11 November 2024 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Pesta buku kali ini mengangkat tema “Lestari Buku Santuni Budaya” selaras dengan usaha DBP untuk memupuk budaya membaca, di samping meraikan kepelbagaian budaya.
Pesta Buku Brunei 2024 telah dirasmikan oleh YB Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei pada 3 November yang lalu.
Menerusi reruai pameran dan jualan buku terbitan DBP, DBP Cawangan Sabah memperkenalkan pelbagai karya menarik seperti siri Cerita Rakyat Sabah dan adat resam Sabah yang memperlihatkan keunikan budaya di negeri tersebut.

DBP berkata,
Karya tersebut melibatkan penulis seluruh Malaysia termasuklah karya Sasterawan Negara dan koleksi kamus keluaran DBP seperti Kamus Dewan Perdana turut menjadi salah satu tarikan pengunjung.
“Selain itu, DBP juga mempamerkan siri majalah keluaran DBP yang merangkumi pelbagai genre, memperluaskan lagi pilihan bahan bacaan untuk pengunjung daripada pelbagai umur.
Tambah DBP,
Aktiviti kuiz interaktif berjaya menarik lebih ramai pengunjung. Kuiz yang berfokus kepada simpulan bahasa ini dikatakan mudah dan menyeronokkan, di samping dapat menguji pengetahuan pengunjung tentang simpulan bahasa. Melalui kuiz ini, pengunjung berpeluang mendalami simpulan bahasa, sekali gus memperkaya kosa kata mereka.
Aktiviti ini juga memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran akan pentingnya bahasa dan budaya, walaupun simpulan bahasa antara kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan, terdapat juga perbezaan menarik yang mencerminkan identiti tempatan masing-masing.

Mengulas lanjut, penyertaan DBP ini menyifatkan sebagai satu langkah strategik dalam mempromosikan budaya membaca dan memperkenalkan karya sastera serta budaya di Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Penyertaan dalam Pesta Buku Brunei ini juga melambangkan dedikasi DBP dalam memelihara dan menyebarkan ilmu, serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dengan Brunei melalui persuratan dan budaya.
DBP berharap agar inisiatif ini mampu membangkitkan semangat pembelajaran dan cintakan ilmu dalam kalangan masyarakat Brunei, rantau Asia Tenggara, sekali gus meletakkan karya Malaysia di mata dunia.