Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Johor Bahru – Jabatan Pendidikan Negeri Johor pada kali ini terus bergiat aktif dalam melestarikan kecemerlangan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) melalui penganjuran Karnival Bakat Pendidikan Khas Zon Selatan yang berlangsung pada 4 hingga 5 November 2024.
Karnival yang berlangsung di Toppen Shopping Centre, Johor Bahru melibatkan penyertaan MBPK dari tiga buah negeri, iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam acara futsal dan badminton.

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Encik Norhan Ahmari menyatakan rasa senang apabila melihat MBPK bersaing sihat dan bersemangat menonjolkan kebolehan diri mereka dalam acara sukan yang dipertandingkan.
Melalui pentas pertandingan seperti ini, kemenjadian murid dapat dibuktikan dengan kebolehan mereka bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam bidang sukan juga. Usaha ini perlu dibuat secara berterusan dengan kesungguhan dan komitmen daripada guru dan ibu bapa.


Dalam Majlis Perasmian Majlis Penutupan Karnival Bakat Pendidikan Khas Zon Selatan 2024, beliau berkata lagi,
Sokongan dan kerjasama daripada semua pihak harus digembleng agar kecemerlangan sukan pendidikan khas dapat dimantapkan. Murid-murid di hadapan kita inilah yang bakal menjadi pelapis atlet orang kurang upaya (OKU) yang diperlukan oleh Malaysia.

Turut hadir bersama-sama dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Encik Ali @ Zainalabidin Syed Mohamed, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Nor Haliza Saibun, KPPK Sektor Pendidikan Khas dan Penolong Pengurus Pemasaran Toppen Shopping Centre, Pn Kwek Shen Chun.
Karnival Bakat Pendidikan Khas ini merupakan sebahagian inisiatif Bahagian Pendidikan Khas untuk mencari bakat sukan dalam kalangan MBPK kategori masalah pembelajaran, ketidakupayaan pendengaran dan ketidakupayaan fizikal.
Bagi pertandingan badminton, Qaseh Balqees Mohd Idzuan (Negeri Sembilan) unggul juara dalam kategori perempuan ketidakupayaan fizikal, manakala kategori lelaki pula dinobatkan kepada Muhammad Iman Faiz Saimon (Johor).
Selain itu, kategori ketidakupayaan pendengaran pula menjadi milik pasukan Negeri Sembilan, iaitu Qurratu Mia Najwa Syawal (kategori perempuan) dan Muhammad Ikram Zulkifli (kategori lelaki).
Pada masa yang sama, kontinjen Johor unggul merajai acara futsal kategori masalah pembelajaran rendah dan menengah manakala bagi kategori ketidakupayaan pendengaran dimenangi oleh kontinjen Negeri Sembilan.
