Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Samarahan – Pertandingan Debat DiRaja antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan temanya Jalinan Perpaduan, semalam.
Sebanyak 23 pasukan menyertai pertandingan debat bagi kategori bahasa Melayu, manakala 22 pasukan bagi kategori bahasa Inggeris dan 18 pasukan bagi kategori bahasa Arab.
Menurut UNIMAS, pertandingan debat itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UNIMAS, Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Yayasan Perkasa Siswa dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat DiRaja antara Institusi Pendidikan Tinggi 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Dalam ucapan beliau berkata,
Kementerian Pendidikan Tinggi komited meneruskan momentum ini untuk mengarusperdanakan insiatif melahirkan mahasiswa bitara yang berteraskan kepimpinan, nilai keilmuan dan kalis masa depan bercirikan mahasiswa yang punya rohnya, kemerlangan dengan rohnya, iaitu ‘excellent with soul’.
“Mahasiswa bitara mempunyai keupayaan untuk berhujah secara bernas, menyampaikan pandangan secara profesional dan mampu membawa idea yang berimpak tinggi.
Dengan usul “dewan ini percaya kecerdasan buatan (AI) menjadi medium utama penyatuan masyarakat”, pasukan debat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya memperoleh gelaran juara bagi kategori bahasa Melayu dengan membawa pulang piala pusingan, wang tunai bernilai RM5000 sumbangan DBP dan hadiah iringan buku terbitan DBP.
Sementara itu, gelaran bagi naib juara pula disandang oleh pasukan debat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan membawa pulang hadiah piala iringan, wang tunai bernilai RM3000 sumbangan DBP dan hadiah iringan buku terbitan DBP.

Pada masa yang sama, pendebat daripada UMK, iaitu Nurshadina Natasya Sabarudin telah dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 sumbangan DBP dan hadiah iringan buku terbitan DBP.


