Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Putrajaya – Penerbit ulung negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meraih tiga anugerah berprestij dalam Majlis Anugerah MAPIM-KPT 2023 yang berlangsung di Dewan Zaaba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada petang ini.
Anugerah MAPIM-KPT ke-15 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud ini menghimpunkan lebih daripada 50 penerima anugerah bagi penilaian tahun 2023, sekali gus menerusi 14 kategori.
Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami, kejayaan ini tidak hanya mencerminkan kecemerlangan dalam penerbitan ilmiah, malah turut menonjolkan semangat kebersamaan dan komitmen para karyawan, khususnya editor untuk memajukan kepakaran diri dalam penyuntingan.
Anugerah ini memberikan satu penghargaan dan motivasi kepada DBP untuk terus melahirkan para editor yang berkualiti dan relevan kerana berjaya mengangkat bahasa Melayu sebagai produk penerbitan yang diiktiraf dalam industri perbukuan.
Selaku Pengarah Jabatan Penerbitan, Encik M Azahari Edin berkata,
DBP sentiasa mementingkan kualiti dalam aspek penyuntingan manuskrip supaya menepati tatabahasa dan penggunaan bahasa Melayu yang baik. Hal ini selaras dengan matlamat organisasi untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menyebarluaskan bahan penerbitan sebagai rujukan utama masyarakat.”
“Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada KPT dan MAPIM atas penganjuran majlis anugerah ini yang telah diadakan sejak tahun 2007.

Dalam majlis tersebut, buku yang menyentuh konsep feudalisme, perkembangan sejarah dan pensejarahnya, iaitu buku Feudalisme Sejarah dan Persejarahan, karya Azmi Arifin terbitan DBP memenangi hadiah utama bagi kategori Buku Ilmiah Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Kongsi editornya, Puan Zalimah Yahaya,
Saya percaya bahawa bahasa Melayu bukan sahaja merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam negara kita, malah menjadi saluran utama dalam menyampaikan ilmu, nilai budaya, dan maklumat kepada masyarakat.
Saya berharap agar bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa ilmu dan seni yang relevan dalam pelbagai bidang dan tidak hanya dilihat sebagai medium komunikasi, namun sebagai alat untuk menyebarkan pemikiran dan inosvasi.
Sementara itu, buku terbitan DBP, Tujuh Ilmu Pilihan dalam Bahasa Melayu yang Mendahului Bahasa Inggeris, tulisan Shaharir Mohamad Zain berjaya memenangi anugerah bagi kategori Buku Ilmiah Bahasa Melayu Terbaik.


Sebagai editor yang mengendalikan buku tersebut, Puan Normala Mohamad Yusof mengatakan bahawa jalinan hubungan yang baik antara editor dengan penulis adalah sangat penting dalam menghasilkan sesebuah buku yang berkualiti, serta memberikan manfaat kepada pembaca.
Anugerah ini merupakan suatu pengiktirafan pencapaian cemerlang, selain menghargai editor, penulis dan penggiat dunia penerbitan ilmiah di Malaysia.
Menariknya, Puan Normala sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang utama bagi kategori Editor Naskhah Terbaik Buku Kemanusiaan dan Sains Sosial. Sebelum itu, Puan Normala pernah dinobatkan sebagai pemenang utama bagi kategori yang sama dalam Anugerah MAPIM-KPT kali ke-14 yang lalu.

Untuk rekod, Puan Normala bukanlah karyawan DBP pertama yang diiktiraf pencapaiannya menerusi anugerah ini. Puan Zalimah Yahaya juga pernah memenangi kategori yang sama sebagai pemenang hadiah penghargaan dalam Anugerah MAPIM-KPT 2017.
Dalam Anugerah MAPIM-KPT 2019 pula, dua orang karyawan DBP, iaitu Encik Mohd. Ikmam Amran dan Puan Siti Mariam Othman juga dinobatkan sebagai pemenang utama dan pemenang hadiah penghargaan, iaitu masing-masing dalam kategori Anugerah Editor Naskhah Terbaik.
Selain itu, Jurnal Bahasa telah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah MAPIM-KPT kali ke-14 dan Anugerah MAPIM-KPT 2015 bagi kategori Makalah Jurnal Terbaik Indeks Kebangsaan 2001.
Jelas beliau,
Editor perlu bijak memberikan pandangan, menghormati pendapat penulis dan berbincang secara berhemah sekiranya berlaku kekeliruan fakta atau kandungan dalam penulisan karya itu.
Kualiti penyuntingan boleh dijaga dengan cara menguasai tatabahasa yang baik, memahami kandungan dan menguasai bidang, memahami koheren dan kohesi wacana, serta mampu menggunakan diksi yang lebih tepat dan berkesan untuk menyampaikan idea penulisan sehingga memberikan kefahaman kepada pembaca.
Pemenang anugerah itu telah membawa pulang sebuah trofi dan sijil penghargaan daripada penganjur, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan KPT.

Pada masa yang sama, Anugerah Sanjungan Budi turut diadakan bagi menghargai jasa dan bakti mantan pengarah penerbit yang banyak memberikan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam menjayakan program MAPIM. Puan Fauzilahyatun Mustafa yang merupakan mantan pengarah Jabatan Penerbitan DBP, antara penerima anugerah berkenaan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi MAPIM, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah dan Ketua Penerbit serta wakil penerbit yang merupakan aset penting dalam komuniti MAPIM.