Diterbitkan pada 23 Disember 2024, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Usaha memperkasakan peranan wanita dalam sektor perindustrian di Pahang giat dilaksanakan dan golongan wanita itu diseru agar lebih peka dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang kerjaya yang ada pada masa ini.

YB Dato’ Sabariah Saidan sedang memberikan ucapan perasmian Karnival Kerjaya Wanita Pahang 2024.

Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan, penganjuran Karnival Kerjaya Wanita Pahang 2024 yang diadakan buat julung-julung kalinya telah membuka peluang pekerjaan kepada golongan wanita.

Karnival ini menjadi platform untuk wanita bersedia dengan perkembangan teknologi, peluang kerjaya masa depan dan ekonomi digital.

Demikian kata YB Dato’ Sabariah ketika menyempurnakan karnival tersebut anjuran Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang  (PKNP) dan Kluster Pekerjaan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang.

Acara gimik perasmian Karnival Kerjaya Wanita Pahang 2024.

Kata beliau,

Platform ini juga diadakan untuk wanita supaya memahami dan bersedia dengan cabaran era digitalisasi ini. Semua ini membuka peluang yang luas untuk mereka mengembangkan kerjaya melalui pelantar digital seperti e-dagang, pekerjaan bebas dan media sosial.

Saya berharap agar karnival ini menjadi pencetus perubahan positif kepada wanita di Pahang dan dapat melahirkan generasi wanita yang berdaya saing serta mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan ekonomi negeri.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKNP merangkap Ketua Kluster Pekerjaan, Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang, Datin Hajah Noraskin Jamaludin; Timbalan Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Dato’ Sri Maznah Mazlan; Timbalan Pengerusi II PUSPANITA Negeri Pahang, Datin Indera Norhayati Ismail; Pengarah PERKESO Negeri Pahang, Encik Hisham Abdul Rahman; dan Ketua Unit, Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, Puan Mazlina Mohamad Lazim.

Peserta yang terlibat dalam pertandingan imej dan solekan bergambar selepas acara tersebut selesai.

Mengulas lanjut, karnival yang berlangsung di BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan itu menawarkan lebih daripada 150 jawatan kosong daripada 20 majikan dan syarikat di sekitar Pahang.

Antara pengisian lain termasuklah sesi temu duga terbuka dan sesi rundingan kerjaya bagi membantu wanita dan calon pekerja yang hadir dalam usaha mendapatkan peluang kerjaya yang ditawarkan.

Kredit Foto: Muhammad Amjad Mohamad Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi