Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Sungai Petani – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyedia peruntukan khas kepada pelajar daripada kumpulan B40 dan luar bandar bagi mengikuti Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dalam penerokaan kemahiran dan teknologi sebagai pilihan kerjaya menarik.
Pengurus Besar KEDA, Encik Ismasuhaimi Sharif berkata, program PLKK merupakan antara platform yang signifikan kepada pelajar dalam usaha mendapatkan pekerjaan lebih baik setelah mengikuti beberapa latihan kemahiran yang disediakan.
Kata beliau,
Selepas tamat tempoh tiga bulan mengikuti kursus itu, pelajar tersebut ada yang mendapat peluang kerja menarik dan ada juga yang memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Susulan daripada sambutan penyertaan yang memberangsangkan, beliau memaklumkan bahawa KEDA terus berusaha meningkatkan mutu latihan sedia ada, termasuklah memilih pelajar yang berminat daripada kumpulan B40 bagi mengikuti latihan kimpalan dasar laut dan juruelektrik dasar laut.
Jika program ini berjaya dilaksanakan, saya percaya akan memberikan pendapatan lumayan hingga mencecah RM10,000 sebulan.
Demikian kata Encik Ismasuhaimi dalam Majlis Penyampaian Sijil Peserta Tajaan KEDA yang dihadiri oleh 57 orang pelajar PLKK yang tamat latihan 2024 di Hotel Park Avenue Sungai Petani, Kedah, semalam.
Sebanyak lapan orang telah berjaya menamatkan kursus Industrial Automation (Mechatronics), 19 orang kursus Industrial Electronics dan 30 orang kursus Industrial Electrical dengan cemerlang setelah program kursus berlangsung di Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC) di Taman Ria Jaya, Sungai Petani.
Encik Ismasuhaimi mengulas KEDA telah menerima peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjumlah RM600,000 bagi tahun 2023 membabitkan lima bidang kursus di KISMEC, iaitu Gunting Rambut Profesional, Industri Automasi (mekatronik), Industri Elektronik, Industri Elektrik serta Perkhidmatan Asas Hospitaliti dan Latihan Operasi.
Pada tahun 2024, KEDA menerima peruntukkan sebanyak RM532,970 melibatkan sembilan kursus termasuklah pengendalian dron pertanian, sistem penyaman udara, gas paip, pemasangan perancah tahap 1, perpaipan, solar, teknologi motosikal, teknologi bangunan dan gearbox.
Menurut beliau, usaha mendidik anak-anak dari kawasan luar bandar jika diteruskan setiap tahun akan melahirkan lebih ramai usahawan untuk membuka syarikat sendiri dan memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan.
“Terima kasih kepada KKDW atas kepercayaan diberikan kepada KEDA sebagai satu daripada agensi pemain utama Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Kedah bagi menjayakan tujuan itu,” tambah beliau lagi.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah (KISMEC), Mohd. Yusuri Yusof, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar dan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Mohd. Azam Omar.