Diterbitkan pada 15 Januari 2025, 11:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rawang – Sebanyak 58 orang pelatih Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan (DPSK) Siri 1/2024 dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 2/2024  Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Kempen Kesedaran Awam dan Keselamatan Kebakaran kepada penghuni Rumah Anak Yatim Kuang, Selangor.

Program yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelatih (MPP) DPSK Siri 1/2024 dan DLSK Siri 2/2024 ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada penghuni dan kakitangan Rumah Anak Yatim Kuang tentang pencegahan kebakaran dan tatacara menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku di samping memberikan panduan dan tunjuk ajar yang berkaitan dengan langkah-langkah mengatasi kebakaran.

Menurut Presiden MPP DPSK DLSK, Encik Haziq Hazmi, penganjuran program ini telah mendapat sokongan penuh pengurusan tertinggi ABPM Wilayah Tengah. Tambahnya, program ini turut memberikan peluang kepada pelatih DPSK dan DLSK untuk menyebarkan ilmu keselamatan kebakaran dan mendekatkan pihak bomba dengan masyarakat setempat.

Tambahnya lagi, pengetahuan tentang keselamatan kebakaran amat penting kepada penghuni rumah anak yatim kerana mereka adalah responden pertama sekiranya berlaku kecemasan seperti kes kebakaran.

Bomba sedang menunjukkan cara-cara memadam api dengan menggunakan alat pemadam api kepada penghuni Anak Yatim Kuang Selangor.

“Anak-anak kecil perlu diterapkan dengan ilmu keselamatan dan perlu diingatkan tentang pepatah “api tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan,” kata Encik Haziq Hazmi.

Menurut seorang daripada pelatih DPSK, Samad Noh, antara aktiviti lain yang dijalankan sepanjang program ini termasuklah kuiz kebombaan, permainan berhenti rebah dan guling serta demonstrasi dan latihan kebakaran api dapur.

Sepanjang program ini berlangsung, para penghuni rumah anak yatim telah didedahkan dengan tatacara, demonstrasi dan berpeluang merasai pengalaman menggunakan alat pemadam api.

Selain itu, turut diadakan pameran jentera dan peralatan kebombaan dan juga ceramah kerjaya bomba.

Turut hadir ke program ini ialah Tuan Hussin Abd Rahman, Ketua Pengajian Pengurusan ABPM Wilayah Tengah dan tujuh orang pegawai pengiring ABPM Wilayah Tengah.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi