Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTarikh 13 Februari pada setiap tahun ialah Hari Radio Sedunia. Hari tersebut disambut oleh para penyiar radio di seluruh dunia bagi menghargai peranan penting radio sebagai alat penyampaian maklumat, membentuk pendapat umum serta menghubungkan masyarakat di seluruh dunia melalui radio.
Hari Radio Sedunia mula diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2011 dan diterima oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tahun berikutnya.
Tema yang dipilih untuk sambutan Hari Radio Sedunia pada tahun ini ialah Radio dan Perubahan Iklim yang menyoroti fungsi radio dalam usaha menjadi alat yang berkesan dalam memerangi krisis perubahan iklim yang semakin teruk melanda dunia.
Apakah yang dimaksudkan dengan perubahan iklim serta kesannya kepada alam sekitar dan kehidupan manusia?
Perubahan iklim merujuk perubahan dalam pola cuaca dan suhu global berpunca daripada peningkatan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera. Perubahan ini dinilai sama ada terdapat peningkatan atau penurunan suhu secara kolektif.
Perubahan iklim dan pemanasan global merupakan isu yang semakin mengancam dunia kerana boleh menyebabkan fenomena cuaca ekstrem, kenaikan paras laut dan ketidakseimbangan ekosistem dunia.
Pemanasan global boleh berlaku akibat beberapa faktor seperti pembakaran bahan bakar fosil, aktiviti pembalakan tanpa kawalan, pembakaran hutan secara terbuka, aktiviti industri dan lain-lain.
Perubahan iklim boleh menyebabkan kesan drastik seperti kenaikan paras laut akibat pencairan ais di kutub utara dan selatan. Selain itu, perubahan ini juga boleh mengakibatkan peningkatan cuaca ekstrem seperti taufan, banjir dan kemarau panjang. Sekiranya tidak ditangani dengan sebaik-baiknya, ketidaktentuan iklim juga boleh mengancam hidupan.
Di samping itu, perubahan iklim juga akan mengancam kelestarian ekosistem alam semula jadi. Ancaman pemanasan global terhadap habitat seperti terumbu karang dan hutan hujan boleh mengakibatkan kepupusan spesies.
Bukan haiwan dan tumbuh-tumbuhan sahaja yang berdepan dengan ancaman pemanasan global. Manusia juga akan berhadapan risiko penyakit seperti demam denggi dan malaria. Manakala gelombang haba boleh membahayakan kesihatan dan meningkatkan risiko kecederaan.
Peranan Radio dalam Menangani Perubahan Iklim
Sebagai satu daripada alat media massa, radio mempunyai peranan penting dalam menyebarkan maklumat kerana alat ini mampu menjangkau pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang tinggal di daerah terpencil atau yang memiliki akses terhad terhadap teknologi moden.
Di tengah-tengah isu perubahan iklim yang melanda dunia, radio berfungsi sebagai saluran penting bagi menyebarluaskan maklumat mengenai langkah-langkah mitigasi terhadap bencana iklim. Di samping itu, radio juga berfungsi sebagai alat untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya usaha melestarikan alam sekitar.
Melalui program radio, maklumat mengenai perubahan iklim dapat disampaikan secara menarik dan mudah difahami. Sebagai contoh, siaran mengenai cara-cara mengurangi kesan karbon dan pengurusan sisa pepejal yang mesra alam. Radio juga dapat menghubungkan khalayak pendengar dengan pakar, ilmuwan, aktivis dan pembuat dasar serta membuka ruang untuk dialog dan kolaborasi antara pelbagai pihak berkepentingan dalam mengatasi krisis ini.
Radio juga memainkan peranan membantu pihak berkuasa dalam menangani bencana alam akibat tindak balas terhadap cuaca secara ekstrem yang dipengaruhi fenomena perubahan iklim. Dalam keadaan seperti itu, radio menjadi alat utama untuk menyampaikan maklumat secara cepat dan tepat mengenai langkah keselamatan. Penyiar radio boleh membantu meningkatkan kesedaran masyarakat dalam memahami setiap perubahan iklim yang mempengaruhi mereka secara langsung dan mencari jalan mengelakkan isu itu daripada berlaku serta cara menanganinya sekiranya berlaku.
Program berbentuk berita, bual bicara, majalah dan dokumentari boleh menjadi wadah berkesan dalam memberi cadangan dan rumusan bagi menyelesaikan atau setidak-tidaknya mengurangi kesan perubahan iklim terhadap alam sekitar.
Selain program yang dirakam, penyampai bertugas boleh mengutarakan topik perbincangan santai secara langsung mengenai isu perubahan iklim dengan pakar berkaitan serta membuka talian telefon bagi memberikan peluang kepada pendengar berkongsi pandangan mereka sebagai anggota masyarakat yang prihatin.
Melalui perbincangan santai seperti ini, secara tidak langsung penyiar dapat mempengaruhi tingkah laku masyarakat agar lebih cakna terhadap isu perubahan iklim dan kesannya kepada alam sekitar jika tidak diatasi. Sebagai contoh, penyiar boleh mengulang peringatan kepada pendengar betapa pentingnya mereka berhemat dalam penggunaan tenaga elektrik dan air, mengurangkan pengeluaran karbon melalui kenderaan atau menjaga kehijauan dengan mengelakkan penebangan pokok serta menanam pokok di sekitar rumah.
Sebagai satu daripada saluran media yang paling inklusif dan mudah diakses oleh banyak orang, radio memiliki kelebihan dalam memupuk kesedaran awam mengenai perubahan iklim dan mendukung aspirasi negara dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar.
Dalam konteks Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), isu perubahan iklim sangat penting dibincangkan lebih-lebih pada ketika Malaysia memegang tampuk Kepengerusian ASEAN pada tahun ini.
Iklim di rantau ASEAN sangat terdedah kepada peningkatan suhu global. Peningkatan paras laut, kekurangan mendadak air tawar, pencairan ais kutub, kemarau, ribut ekstrem dan suhu tinggi akibat perubahan iklim boleh mengancam ekosistem rantau ini.
Dalam isu ini, ASEAN telah melakukan pelbagai usaha untuk menangani isu perubahan iklim dengan menukar penggunaan bahan api fosil kepada sumber tenaga yang lebih mesra alam dan tenaga boleh diperbaharui.
Justeru, tema Radio dan Perubahan Iklim bersempena Hari Radio Sedunia 2025 amat signifikan dan tepat untuk meraikan sumbangan radio dalam menangani isu perubahan iklim yang dihadapi planet bumi dewasa ini.
Penulis ialah mantan Setiausaha Agung, Persatuan Veteran RTM dan mantan Pengurus Berita, Radio BERNAMA