Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Research Interest Group (RIG) dan Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis (CommUniCare) mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama strategik bersama Lembaga Jurukur Tanah (LJT) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi menganjurkan International Carnival on Community Awareness, Entrepreneur and Geomatic 2025 (ICAEG 2025). Kerjasama ini dicapai menerusi satu mesyuarat yang berlangsung di Wisma JUPEM, Kuala Lumpur pada 18 Februari 2025.

ICAEG 2025 akan menyediakan platform untuk peserta mendalami pelbagai aspek teknologi geomatik termasuklah penggunaan peralatan terkini dalam industri pemetaan, kajian tanah serta keusahawanan dalam sektor tersebut. Program ini turut menyediakan sesi ceramah, bengkel, pameran teknologi serta aktiviti interaktif yang melibatkan komuniti dan industri. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran serta mengembangkan potensi dalam bidang geomatik dan teknologi keusahawanan komuniti dalam kalangan pelajar, pengusaha tempatan dan masyarakat umum.
“Kerjasama ini amat bermakna dalam memperkasa bidang geomatik pada peringkat komuniti dan pendidikan. Melalui penganjuran Karnival ICAEG 2025, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk menceburi bidang ini dan memperkenalkan kepada mereka tentang teknologi canggih yang memberikan impak besar dalam pembangunan negara,” kata Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Penasihat CommUniCare.
LJT dan JUPEM sebagai rakan kongsi utama dalam penganjuran acara ini turut menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan kerjasama dalam memajukan bidang geomatik di negara ini. “Karnival ini merupakan inisiatif penting untuk memartabat bidang geomatik serta memberikan peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai teknologi yang dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan komuniti,” kata LSr Mohd Riza Halim, Setiausaha Lembaga LJT.

ICAEG 2025 dijangka akan berlangsung pada 23 hingga 25 Mei 2025 di Masjid Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan inovasi teknologi, pameran peralatan geomatik terkini dan sesi perkongsian oleh pakar industri akan diadakan sepanjang karnival ini. Dijangka lebih 5,000 orang peserta dan pengunjung bakal menghadiri program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini.
Kerjasama ini diharap dapat membuka peluang yang lebih luas kepada masyarakat untuk meneroka teknologi terkini serta memberikan impak positif kepada perkembangan industri keusahawanan dan pendidikan di utara tanah air.