Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Sebanyak 250 tetamu, termasuklah 52 pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria diraikan dalam Majlis Iftar Bersama Pelajar PPKI SK Taman Ria 2025 di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Bandar Laguna Merbok, baru-baru ini.
Pelajar berkeperluan khas yang terlibat terdiri daripada mereka yang mengalami autisme, palsi serebrum, hiperaktif dan kekurangan tumpuan serta spina bifida lumbar.
Acara ini dianjurkan dengan kerjasama Hospital Pantai Sungai Petani dan Hospital Pantai Laguna Merbok sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pantai Sungai Petani dan Hospital Pantai Laguna Merbok, Puan Tio Bee Chan, penganjuran majlis ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk menonjolkan bakat mereka, malah membantu dalam meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap golongan kurang berkemampuan.
“Pelajar ini menunjukkan kebolehan masing-masing dalam beberapa acara persembahan seperti nasyid dan deklamasi puisi. Saya berharap lebih banyak organisasi, khususnya badan korporat tempatan mengambil inisiatif yang sama dalam menyantuni anak-anak istimewa serta golongan asnaf,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Taman Ria, Encik Syed Anwar Syed Mohamad, menyambut baik usaha CSR dari Hospital Pantai yang bukan sahaja menceriakan pelajar tetapi turut memberikan ruang kepada ibu bapa untuk melihat sendiri bakat dan potensi anak-anak mereka.
“Apabila pihak luar turut memberikan perhatian, pelajar OKU didapati begitu ceria dan bersemangat ketika membuat persembahan,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Imam Masjid Andalusia, Encik Burhanudin Wahab, yang bersama-sama meraikan kehadiran pelajar dan keluarga mereka dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis ini bukan sahaja mencerminkan semangat kebersamaan dalam masyarakat, malah memperkukuhkan hubungan erat antara pelajar, ibu bapa, pihak sekolah dan komuniti setempat.