Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Kedah telah menganjurkan Program MARA Prihatin: Keberkatan Ramadhan Dikongsi Bersama, di sekitar Perkarangan Pejabat MARA Negeri Kedah.

Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim, malah turut memupuk semangat kolaborasi dalam kalangan rakan strategik yang memberikan sokongan dan sumbangan bagi menjayakan acara berbuka puasa tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Titimerah Sdn Bhd, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Muhd Amirun Azhar, beramah mesra dengan anak-anak yatim yang diraikan semasa Program MARA Prihatin di Alor Setar, Kedah.

Sebanyak 100 orang anak yatim dari sekitar negeri Kedah telah dijemput untuk merasai keberkatan bulan Ramadhan. Program ini turut membuka ruang bagi syarikat-syarikat dan individu untuk menyumbang kepada golongan yang memerlukan, sekali gus merancakkan lagi semangat bersedekah dalam bulan yang mulia ini.

Antara rakan strategik yang turut serta dalam menyumbang kepada kejayaan program ini ialah Perniagaan Mazlan Hashimah (PMH), MZAZ Berkat Niaga, Jelang Jaya Sdn Bhd, Merchant Fleet Sdn Bhd, Zaar Impian Enterprise, M&N Unic Sdn Bhd, Titi Merah Sdn Bhd dan JMF Bistari Enterprise. Sumbangan daripada syarikat-syarikat ini telah membantu meringankan beban anak-anak yatim dan memberikan mereka sinar harapan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Program ini adalah manifestasi kepada semangat kolaborasi yang kukuh antara MARA dan rakan-rakan strategik. Pihak MARA sangat berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh rakan-rakan perniagaan yang turut menyumbang dalam memastikan kejayaan acara ini. Melalui kerjasama yang erat ini, pihak MARA dapat mengukuhkan lagi ikatan sosial dan memberikan impak yang positif kepada masyarakat, terutamanya anak-anak yatim yang memerlukan,” ujar Pengarah MARA Negeri Kedah, YBrs. Encik Rizal Effendi.

Ketua Pegawai Eksekutif Titimerah Sdn Bhd, YBrs. Encik Muhd Amirun Azhar, salah seorang rakan strategik utama program, turut menyertai majlis bagi menyantuni anak-anak yatim yang diraikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Titimerah Sdn Bhd, YBrs. Encik Muhd Amirun Azhar turut melahirkan rasa teruja dengan inisiatif yang diambil oleh MARA Negeri Kedah. “Ramadhan merupakan bulan penuh rahmat dan keberkatan. Melalui program ini, kolaborasi bersama-sama ini dapat menyumbang kepada kebahagiaan anak-anak yatim dan berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin dan harmoni,” tambah beliau.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha MARA dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk memberikan impak positif kepada masyarakat, terutamanya dalam memperbaik kehidupan golongan yang memerlukan. Kolaborasi antara MARA dengan rakan strategik ini tidak hanya memberikan manfaat kepada anak-anak yatim, malah turut menggalakkan semua pihak untuk bersama-sama menjayakan inisiatif kemasyarakatan yang mampu memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan.

 

Kredit Foto: Eliy Nazira Mat Nazir
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi