Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Kelab Keluarga Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (KKKPKNP) mengimarahkan bulan Ramadan pada tahun ini dengan menyerahkan sumbangan kepada penerima yang layak melalui program Ziarah Kasih Ramadan 1446H/2025M di sekitar Kuantan.

Sumbangan diperoleh daripada kutipan yang disedekahkan oleh ahli-ahli KKKPKNP sepanjang bulan Ramadan bagi tujuan pelaksanaan program tersebut.

Program tersebut telah disertai oleh Presiden KKKPKNP, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Rahmat Hussin dan ahli-ahli jawatankuasa KKKPKNP.

Menurut YBrs. Encik Rahmat Hussin, antara penerima sumbangan semasa program Ziarah Kasih Ramadan adalah bekas ahli KKKPKNP yang keuzuran, waris ahli KKKPKNP yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penerima yang kemalangan serta hilang punca pendapatan.

Sumbangan turut diserahkan kepada Tabung Pembangunan Masjid Tepian Putra, Kuantan

Beliau berkata, program ini dilaksanakan pada setiap tahun sebagai tanda keprihatinan KKKPKNP kepada bekas ahli untuk membantu mereka dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Semua kutipan yang diterima telah diserahkan sepenuhnya kepada penerima-penerima yang dikenal pasti dalam bulan Ramadan sahaja kerana sumbangan tersebut merupakan amanah yang telah diberikan dan mesti disempurnakan dalam bulan ini juga,” ujar Encik Rahmat.

Sementara itu, Ketua Biro Agama dan Kebajikan KKKPKNP, YBrs. Encik Muhammad Faiz Ab Aziz turut menjelaskan, KKKPKNP telah menyerahkan sumbangan hasil kutipan ahli-ahli KKKPKNP sebelum ini kepada Tabung Pembangunan Masjid Tepian Putra Kuantan, Madrasah Tahfiz al-Ameen Aspa Cottage dan Pusat Pengajian Tahfiz Ribat al-Musthofa.

“Tabung kutipan yang disediakan adalah sebagai galakan kepada semua ahli KKKPKNP untuk bersedekah pada setiap hari dalam memanfaatkan ganjaran sepanjang bulan Ramadan ini,” tambah beliau lagi.

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi