Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyer Keroh – Kerajaan Negeri Melaka telah memperkenalkan dua inisiatif utama untuk keperluan masyarakat dalam usaha memastikan masyarakat orang asli di Melaka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta dapat menikmati kemajuan yang seimbang seperti masyarakat lain dalam Majlis Program Wacana Kepimpinan Orang Asli dan Iftar Ramadan anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Sembilan dan Melaka (JAKOA), baru-baru ini.
Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif pertama, iaitu menyediakan perlindungan insurans kesihatan dan khairat kematian untuk Ahli Lembaga Adat Orang Asli yang memberikan manfaat kepada sejumlah 93 pemimpin komuniti.

Menurut beliau lagi, inisiatif kedua pula merupakan pemberian bantuan persekolahan murid orang asli yang melibatkan sebanyak 700 orang pelajar dari prasekolah hingga sekolah menengah, dengan peruntukan berjumlah RM70,000.
Dalam ucapan beliau baru-baru ini, dua inisiatif yang turut diperkenalkan itu membuktikan komitmen yang jelas bahawa kerajaan negeri sentiasa mementingkan keperluan masyarakat Orang Asli Melaka agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan dapat menikmati kemajuan yang seimbang seperti masyarakat lain.
“Saya amat berharap, inisiatif yang diberikan ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Orang Asli khususnya dalam mengutamakan bidang pendidikan buat anak-anak mereka,” ujar beliau.

Turut hadir, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Yang Berhormat (YB.) Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, YB. Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, YB. Datuk V.P Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri,YB. Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri, YB. Datuk Wira Salhah Salleh dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JAKOA, YBrs. Encik Mohd Zamri Mustajap.
YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri juga akan terus komited untuk memberikan pelbagai inisiatif termasuk memastikan pemeliharaan adat dan nilai-nilai kehidupan orang asli kekal terpelihara agar tidak pupus ditelan arus moden.

“Saya difahamkan sehingga kini, terdapat sebanyak 1,986 masyarakat orang asli di Melaka dan kerajaan negeri akan memastikan bahawa adat istiadat masyarakat ini terus dipelihara kerana pemeliharaan identiti dan tradisi ini amat penting dalam memastikan keharmonian serta kelangsungan budaya unik masyarakat Orang Asli,” ujar beliau.
Beliau menyeru agar semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat untuk bekerjasama dalam memastikan pembangunan inklusif masyarakat Orang Asli agar dapat mewujudkan sebuah negeri yang lebih makmur dan harmoni untuk semua.