Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Baling – Jabatan Seni Reka Perindustrian, Kolej Pengajian Seni Kreatif dan Unit Komunikasi Korporat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok telah mengadakan Program Jalinan Ehsan Jambangan Aidilfitri Komuniti (JEJAK) di Kampung Carok Salang, Parit Panjang, Baling baru-baru ini.

Penduduk kampung bergambar dengan peserta di sebuah rumah penduduk semasa program di Kampung Charuk Salang, Baling.

Sebanyak 15 orang sukarelawan dalam kalangan staf UiTM Cawangan Kedah dibantu oleh lima orang Ahli Jawatankuasa Masjid Andalusia Bandar Laguna Merbok menyertai program itu.

Pensyarah Jabatan Seni Reka Perindustrian Kolej Pengajian Seni Kreatif, Encik Zaidi Yusoff menyampaikan ucapan semasa Program Jalinan Ehsan Jambangan Aidilfitri Komuniti (JEJAK) di Kampung Carok Salang, Parit Panjang, Baling baru-baru ini.

Selaku ketua projek program, Encik Zaidi Yusoff berkata, bantuan telah diberikan bagi membantu sebanyak 31 keluarga asnaf dari segi kewangan dan barangan dapur sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini agar menjadi lebih ceria.

“Wang tunai sebanyak RM250 dan wang zakat perseorangan adalah sumbangan khas dari Masjid Andalusia manakala barangan keperluan Aidilfitri untuk setiap keluarga diberikan hasil sumbangan daripada pensyarah dan individu tertentu.”

Menurut beliau lagi, program itu berjaya memupuk semangat kasih sayang dan prihatin kepada golongan yang memerlukan bagi merapatkan silaturahim antara para akademik dan mereka yang kurang berkemampuan.

Imam Masjid Andalusia, Al- Fadil Tuan Haji Burhanuddin Wahab bergambar dengan penerima sumbangan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini

“Insya-Allah program ini akan dijadikan acara tahunan kerana dapat memberi manfaat kepada lebih ramai golongan asnaf, orang kurang supaya (OKU) dan yang memerlukan” ujar beliau.

Encik Zaidi Yusoff berkata lagi, inisiatif dianjurkan itu bagi menyantuni warga penduduk dan memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta dalam mendekati golongan yang hidup serba kekurangan dan kesusahan.

Melalui program begini, peserta juga berpeluang mengunjungi rumah penduduk bagi menyampai sumbangan dalam bentuk barangan keperluan dan kewangan.

Tambah beliau lagi, sokongan dari semua pihak seperti Rektor UiTM Kedah, Yang Berusaha (YBrs.) Prof Dr Roshima Said, Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Kedah, YBrs. Dr. Nurul Ayn Ahmad Sayuti, Pensyarah Kanan dan Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Kedah, YBrs. Dr. Hajah Sharina Saad dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa UiTM, merangkap Imam Masjid Andalusia Al- Fadil Tuan Haji Burhanuddin Wahab dan lain-lain menjadikan keseluruhan program ini berjalan dengan lancar.

 

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi