Diterbitkan pada 28 Mac 2025, 15:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Pusat beli-belah Central Square buat julung-julung kalinya meraikan sebanyak 30 orang kanak-kanak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda dalam program tanggungjawab sosial korporat Manisnya Raya, semalam.

Menurut Pegawai Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, YBrs. Puan Noraziana Ibrahim, kanak-kanak yang tinggal di Pusat Jagaan Kanak-kanak Khas Sungai Petani, termasuk di Taman Nuri dapat memilih sendiri pakaian raya masing-masing yang berharga RM140 melalui program tersebut.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif yang dilakukan oleh pihak pengurusan pemasaran Central Square untuk mengadakan program tanggungjawab sosial korporat berkenaan amat bermakna kepada kanak-kanak yang terlibat.

Pengurusan pusat beli-belah Central Square Sungai Petani juga memberikan duit raya kepada kanak-kanak tersebut berjumlah RM70 seorang.

“Pelbagai reaksi luar biasa dapat diperhatikan apabila kanak-kanak daripada pelbagai golongan berada di pusat beli-belah itu untuk memilih pakaian bersama-sama dengan ibu bapa,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Central Square Sungai Petani, YBrs. Encik Harmizal Che Omar memaklumkan bahawa pihaknya buat pertama kali mengadakan program ini menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporat bersama-sama dengan pelajar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda.

Semoga inisiatif yang dilaksanakan memberikan keceriaan kepada semua pelajar tersebut ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

Turut hadir menyaksikan program itu ialah Pegawai Daerah Kuala Muda, YBrs. Encik Azmin Zainal Abidin dan Pengerusi Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Cawangan Negeri Kedah, YBrs. Encik Jamani Jamaludin.

Kredit Foto: Abd Razak Osman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi