Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSubang Jaya –Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor telah terlibat dalam Ops Mega Pembersihan Pasca Letupan Paip Gas di Putra Heights selama dua hari bermula semalam.
Ops Mega Pembersihan ini dilakukan rentetan tragedi letupan paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April 2025.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Yang Berusaha (YBrs.) Encik Tuan Azizulhakim, pelibatan JBPM Negeri Selangor terutama Pejabat Zon 2 Petaling dan balai-balai bomba di bawah Zon 2 Petaling memfokuskan di kawasan yang terjejas akibat letupan paip gas baru-baru ini, iaitu di sekitar kawasan Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Tambah beliau lagi, selain tugas-tugas pemadaman kebakaran sewaktu bencana tempoh hari, pihak JBPM Negeri Selangor turut memberikan khidmat bakti dalam pembersihan kawasan yang terjejas. Hal ini menunjukkan bahawa pihak JBPM turut bersimpati dengan bencana yang telah menimpa penduduk di kawasan ini.

Turut terlibat, pegawai-pegawai kadet Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah.
“Pegawai Kadet sebanyak 15 orang diberikan peluang dan kesempatan untuk sama-sama menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan ini. Selain dapat melihat sendiri kawasan yang terlibat dengan letupan paip gas ini, pada masa yang sama pegawai kadet turut dapat menyelami nasib yang menimpa penduduk susulan bencana yang berlaku, “ ujar Pegawai Kadet, YBrs. Encik Mohd Khairul Azmi.

Ops Mega Pembersihan ini turut dibantu oleh petugas daripada kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sekitar Negeri Selangor, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan yang telah bertungkus lumus membersihkan kawasan sekitar untuk memastikan misi bantuan pascabencana ini berjalan lancar.