Diterbitkan pada 22 April 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alor Setar – Kementerian Perpaduan Negara akan membuat kutipan data kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) Kali Ke-3 dari rumah ke rumah bermula pada 28 April 2025 bagi mengumpul pelbagai maklumat terkini yang terbaik dalam usaha meningkatkan tahap perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Kajian pertama IPNas telah dilaksanakan pada tahun 2018 manakala kajian kedua IPNas pula dilaksanakan pada tahun 2022.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Haji Ruji Haji Ubi berkata, kerjasama daripada orang ramai diperlukan bagi menjayakan tujuan itu. Kementerian Perpaduan Negara telah melantik Pakarunding Sdn. Bhd. dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai perunding untuk  melaksanakan kajian IPNas Kali Ke-3 ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Kedah 2025 yang berlangsung selama tiga hari mulai 17 April hingga 19 April lalu di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah.

“Jadikanlah perayaan kaum anjuran kementerian ini sebagai permulaan tempat persemaian kasih sayang dan suai kenal antara satu dengan lain. Dengan ini, kita akan dapat merasai kehidupan yang penuh dengan warna-warni keceriaan, suasana harmoni dan sifat saling menghormati ,”katanya.

Tambah Datuk Haji Ruji Haji Ubi, melalui program sebegini, orang ramai berpeluang melihat pameran Rumah Kami yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum seperti Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli serta rumah orang Sabah dan Sarawak.

“Negeri Kedah yang berkeluasan 9,447 kilometer persegi pada masa ini mempunyai jumlah komposisi penduduk sebanyak 2.2 juta orang. Secara perbandingan, Kedah menduduki tempat kelima penduduk paling ramai di Malaysia selepas Selangor (7.3 juta orang penduduk), Johor (4.1 juta orang penduduk), Sabah (3.7 juta orang penduduk) dan Perak (2.5 juta orang penduduk). Daripada keseluruhan 34.1 juta rakyat Malaysia, 2.2 juta berada di Kedah.”

“Hari demi hari, jumlah penduduk akan terus bertambah. Kita akan berkongsi negara dan mendiami negeri ini secara bersama-sama. Maka itu, nilai perpaduan amat mustahak untuk disemai, dibajai dan dijaga sebaik-baiknya supaya kepelbagaian yang wujud itu dapat dicari titik persamaannya,”ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah (JPNIN), YBhg Tuan Haji Ahmad Puat Haji Junus berkata, aktiviti ini dapat menyebarkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia.

Katanya lagi, pengunjung dapat melihat dari dekat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan seperti Fun Walk Baju Tradisi, jualan FoodUnites, Karnival Sukan Rakyat, Pameran Rumah Kami, Tayangan Wayang Pacak, Karnival Ekonomi KRT, Bicara Perpaduan Jualan Rahmah dan banyak lagi.

Turut menghadiri majlis itu, Ketua Pengarah JPNIN, YBhg Dato’ Haji Che Roslan Che Daud, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kedah, YB Wong Chia Zen, Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Strategik JPNIN, Encik Mohd Faris Jazlan Ramli, Pengarah Pembangunan Negeri Kedah, YBrs Tuan Haji Zepri Saad dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Encik Muhamad Mahazi Ibrahim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi