Diterbitkan pada 21 April 2025, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Jalan Elmu disertai sebanyak 46 orang penjawat awam dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi dalam kursus pengacaraan majlis secara profesional di Akademi Pengacaraan Perkhidmatan Awam (ASPERA) selama tiga hari bermula 21 hingga 23 April.

Peserta ASPERA fokus semasa diberikan taklimat oleh pihak INTAN berkaitan tujuan dan objektif ASPERA dianjurkan sepanjang ASPERA dijalankan.

Program anjuran INTAN dengan kerjasama Persatuan Pengacara Perkhidmatan Awam (PPPA) ini bertujuan memperkasakan kemahiran pengacaraan dalam kalangan warga perkhidmatan awam, selaras dengan keperluan komunikasi profesional dalam urusan rasmi kerajaan.

Sepanjang ASPERA, peserta didedahkan dengan pelbagai modul penting termasuk bahasa dan protokol pengacaraan majlis, peranan pengacara majlis, teknik menyampaikan solusi secara berkesan, kawalan emosi semasa berucap serta seni komunikasi profesional.

Selain perkongsian ilmu secara teori oleh penceramah berkaliber, peserta ASPERA turut menjalani sesi praktikal seperti latihan menyebut salutasi, latihan mengumumkan ketibaan serta semakan teks pengacaraan.

Menurut Pengarah Program ASPERA, YBrs. Puan Lyn d’amor berkata penganjuran ASPERA bukan sahaja menjadi platform pembangunan sahsiah dan keyakinan diri, malah turut memupuk semangat kesepakatan dalam kalangan penjawat awam pelbagai agensi.

“Program ini dilihat sangat relevan dalam memastikan kelancaran sesuatu majlis rasmi, selain memperkukuh peranan penjawat awam sebagai wakil kerajaan yang berwibawa dan berkarisma,” ujar beliau.

ASPERA merupakan satu platform terbaik yang mencungkil serta mengasah bakat pengacaraan dalam kalangan penjawat awam.

Sebahagian daripada penjawat awam yang menyertai ASPERA yang diadakan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Jalan Elmu baru-baru ini.

Pada hari terakhir akademi, sebanyak 46 orang peserta ini telah dinilai oleh juri dan fasilitator bagi memilih sebanyak 20 orang peserta untuk ke pusingan separuh akhir ASPERA.

ASPERA merupakan satu daripada tiga program yang terkandung di bawah program Gema Bicara anjuran INTAN.

Selain itu, antara program yang turut diadakan termasuklah Pertandingan Gegar Pidato Piala Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pertandingan Pidato Bahasa Melayu) dan INTAN Orator’s Arena (Pertandingan Pengucapan Awam Bahasa Inggeris) yang turut dijalankan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Jalan Elmu.

Kredit Foto: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Persatuan Pengacara Perkhidmatan Awam (PPPA)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi