Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJika diukur berdasarkan kedudukan universiti terbaik di Malaysia, nama Universiti Malaya (UM) merupakan antara universiti yang dianggap perdana atau terulung. Mungkin juga kita terbayang Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang hebat dan gah sebagai universiti terbaik berdasarkan kedudukan semasa yang telah dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) dan Times Higher Education (Times). Kedua-dua badan penilai ini telah mengklasifikasikan kedudukan sesebuah universiti berdasarkan beberapa faktor yang melibatkan proses pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, anggota akademik serta pengurusan dan sumbangan universiti tersebut terhadap perkembangan ilmu.
Walau bagaimanapun, penulisan ini tidak berhasrat untuk membahaskan tentang kedudukan dan cara penilaian badan penilai universiti tersebut, sebaliknya penulis ingin menjelaskan tentang faktor yang mendorong seseorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih universiti bagi menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.
Persoalannya, adakah kedudukan sesebuah universiti memberikan gambaran bahawa institusi tersebut adalah yang terbaik? Adakah kedudukan universiti yang terbaik akan menjadi pilihan utama calon pelajar universiti? Kebanyakan pelajar memilih universiti untuk menyambung pengajian berdasarkan minat, harapan dan cita-cita kerjaya mereka.
Pelajar yang melanjutkan pengajian pada peringkat diploma atau ijazah pertama akan memilih kursus yang sepadan dengan cita-cita mereka. Begitu juga dengan pelajar yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah tinggi, mereka masih menitikberatkan potensi perkembangan kerjaya sebagai faktor pendorong untuk meneruskan pengajian.
Kajian akademik telah membuktikan bahawa hampir keseluruhan pelajar yang melanjutkan pelajaran di universiti atas faktor untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang baik, sesuai dengan bidang pengajian yang ditekuni di institusi pendidikan tinggi (IPT). Terdapat persepsi yang mengatakan bahawa universiti bukan hanya tempat untuk mendapatkan sesuatu ilmu sahaja, namun menggunakan ilmu tersebut sebagai bukti kebolehan untuk merebut peluang pekerjaan dan membina kerjaya yang hebat.
Oleh itu, antara indikator terbaik untuk calon IPT membuat pertimbangan dalam memilih universiti terbaik termasuklah meneliti laporan kadar kebolehpasaran graduan sesebuah universiti. Laporan ini secara rasminya telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berdasarkan maklum balas daripada graduan universiti seluruh Malaysia. Kadar kebolehpasaran graduan diukur berdasarkan graduan yang bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran, atau menunggu penempatan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Sebagai contoh, berdasarkan laporan kadar kebolehpasaran graduan pada tahun 2024, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya mencapai kadar kebolehpasaran graduan sehingga 100 peratus. Ironinya, universiti ini bukan tersenarai sebagai universiti terbaik dan berada pada kedudukan pertama. Manakala Universiti Malaya pula mencapai kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 89.1 peratus pada tahun 2023. Contoh ini hanya perbandingan ringkas berkaitan signifikan di antara universiti dengan kedudukan terbaik dan kadar kebolehpasaran graduan yang mereka hasilkan.
Selain itu, bagi para calon IPT yang sedang memilih universiti terbaik boleh meneliti juga beberapa faktor lain. Perkara pertama yang perlu dititikberatkan oleh pelajar ialah memastikan IPT yang dipilih merupakan institusi yang diiktiraf oleh KPT dan badan akreditasi seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kedua, memilih universiti terbaik berdasarkan bidang pengajian yang ingin kita tekuni. Hal ini demikian kerana setiap universiti mempunyai kekuatan dalam bidang tertentu. Misalnya, Universiti Malaya (UM) terkenal dalam bidang perubatan dan undang-undang, manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) unggul dalam bidang kejuruteraan. Oleh itu, pilih universiti terbaik yang selari dengan cita-cita kerjaya masa hadapan. Kemudahan dan persekitaran pembelajaran serta lokasi universiti juga perlu diberikan pertimbangan, termasuklah kos pengajian serta peluang mendapatkan pembiayaan seperti biasiswa universiti dan sebagainya.
Universiti bukanlah kilang yang menghasilkan graduan hanya untuk memenuhi pasaran kerja semasa sahaja. Tidak dinafikan bahawa matlamat utama pelajar ke IPT adalah untuk menekuni bidang ilmu tertentu dan merebut peluang kerjaya pada masa hadapan. Calon pelajar universiti juga perlu bersedia dan sentiasa matang sepanjang berada di IPT. Hal ini demikian kerana mereka bukan sahaja mendapat pendedahan tentang ilmu bidang khusus, malah ilmu tentang kehidupan juga didedahkan sama ada secara formal mahupun tidak formal ataupun melalui pergaulan dan kehidupan kampus yang mencabar.
Memilih universiti terbaik di Malaysia bagi calon pelajar lepasan sekolah menengah untuk meneruskan pengajian pada peringkat tinggi berbeza dengan meletakkan sesebuah IPT sebagai terbaik dari segi kedudukan dalam senarai kedudukan tertentu. Universiti terbaik untuk meneruskan pembelajaran merupakan universiti yang menawarkan bidang pengajian yang selari dengan pasaran kerjaya di alam pekerjaan sebenar.