Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaling – Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah siap membina empat jambatan konkrit dengan kos RM1.4 juta selepas berlaku bencana banjir di daerah Baling pada tahun 2022 lalu.
Pembinaan jambatan konkrit baharu di mukim Kupang dan mukim Pulai itu dimulakan pada Januari 2025 lalu setelah mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Empat projek itu memberikan manfaat kepada 4,400 penduduk di beberapa buah kampung setelah kerja tapak dan reka bentuknya mula dilakukan pada tahun 2023.

Projek tersebut juga disiapkan mengikut jadual dan melengkapkan jaringan infrastruktur jalan bagi memudahkan hubungan dengan kampung lain yang berdekatan.
Sehubungan itu, majlis penyerahan empat jambatan tersebut oleh Pengarah ICU Negeri Kedah, YBrs. Zepri Saad kepada Pegawai Daerah Baling, YBrs. Yazlan Sunardie Che Yahaya berlangsung di Pejabat Daerah Baling baru-baru ini.

Zepri berkata, pelaksanaan projek jambatan konkrit dilaksanakan itu membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur luar bandar dan memastikan semua rakyat menikmati pembangunan ekonomi yang lebih baik.
Sebelum itu, beliau membuat tinjauan di dua projek ICU, iaitu pembinaan jambatan baharu Kampung Padang Cina dan kerja pembinaan jambatan konkrit di Kampung Padang Empang di daerah Baling yang kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap pada bulan November.
“Pihak ICU Kedah komited untuk memastikan semua projek dilaksanakan mengikut jadual berdasarkan tatakelola awal, iaitu untuk memberikan manfaat kepada rakyat Kedah,” katanya.